Home Nasional Apa jadi dengan kemudahan RM1 bilion pembiayaan pelancongan?

Apa jadi dengan kemudahan RM1 bilion pembiayaan pelancongan?

KUALA LUMPUR – Industri pelancongan tertanya-tanya mengenai pengumuman kerajaan berkaitan kemudahan pembiayaan sektor pelancongan bernilai RM 1 bilion yang sepatutnya dimulakan awal Julai dan kemudiannya ditangguhkan pelancarannya ke 15 Julai 2020.

Namun sehingga kini masih tiada sebarang pengumuman yang diberikan oleh samada pihak Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Kewangan mahupun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), kata Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun.

Kemudahan itu telah diumumkan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara pada 5 Jun lalu.

Sedangkan, katanya, MATA telah terlibat dengan perbincangan bersama BNM pada 16 Jun 2020 dan memaklumkan tiga perkara utama yang perlu diteliti oleh bank pusat itu untuk merancakkan kembali sektor pelancongan.

Tiga perkara itu adalah memberikan Geran Pelancongan Khas mengikut saiz syarikat yang terlibat dalam sektor pelancongan ini antara RM50,000 ke RM100,000; memberikan pinjaman mudah dan memudahkan prosedur pinjaman kepada syarikat yang terlibat dalam sektor pelancongan memandangkan ke semua syarikat mengalami impak yang sangat besar pada aliran tunai masing-masing.

Selain itu, katanya, MATA memohon lanjutan tempoh moratorium secara bersasar seperti kepada penggiat industri pelancongan supaya dapat merancakkan semula perniagaan mereka.

Mohd Khalid berkata, MOTAC seharusnya memainkan peranan untuk menjadi orang tengah dalam mempermudahkan perbincangan dengan penyedia dana seperti BSN, SME Bank, TEKUN, MARA, PUNB, LHDN dan lain-lain agar pemain industri dapat berjumpa dan berbincang supaya urusan dapat dimudahkan.

Malah, sewajarnya MOTAC membuka bilik gerakan bagi tujuan ini.

MOTAC juga tambahnya, sewajarnya menggunakan dana sedia ada seperti Tabung Infrastruktur Pelancongan sebanyak RM 1 bilion dan Tabung Khas Pelancongan (SFT3) untuk diberikan kepada penggiat industri pelancongan supaya dapat memulihkan kembali industri ini dengan segera.

”Pada masa yang kritikal seperti sekarang ini, Skim Galakan Melancong (GAMELAN) juga wajar dipercepatkan pembayaran semula penggiat sektor pelancongan kerana ini bukanlah masanya untuk melayan birokrasi seperti menunggu kesemua pegawai bermesyuarat sebelum sesuatu kelulusan dibuat.

”Perkara seperti ini akan melambatkan pemprosesan pembayaran,” katanya di sini.

Bukan itu sahaja kerana pada 27 Februari 2020, kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi telah mengumumkan pemberian baucar digital bagi pelancongan domestik sebanyak RM100 seorang bagi menggalakkan rakyat melancong di dalam negara, namun inisiatif ini juga masih tidak dimaklumkan cara pelaksanaannya.

Perkara seperti inilah yang sewajarnya dipercepatkan agar rakyat dapat menyemarakkan semula pelancongan domestik, katanya.

Mohd Khalid berkata, Thailand contohnya mengumumkan pemberian potongan sebanyak 40% kepada rakyat mereka untuk penginapan di hotel, tambang penerbangan domestik dan perbelanjaan makanan, yang mana ianya terus dilaksanakan sehari selepas pengumuman dibuat oleh kerajaan mereka.

Dengan cara ini akan menggalakkan rakyat mereka untuk keluar melancong dan seterusnya merancakkan kembali ekonomi negara mereka dengan segera.

”Apa yang kami lihat ketika ini, kerajaan pusat dan kerajaan negeri hanya tertumpu kepada pemandu pelancong, pemandu bas persiaran, beca, teksi, pengusaha homestay dengan memberikan mereka bantuan kewangan.

”Sedangkan kesemua penggiat di dalam industri pelancongan juga terlibat yang mana sebagai contoh jika agensi pelancongan tidak dibantu maka ramai pekerja mereka terpaksa diberhentikan, begitu juga dengan perhotelan dan sebagainya.

”Untuk itu MATA mencadangkan agar kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat memberikan pengecualian dari segi cukai pintu mahupun cukai tanah kepada
penggiat pelancongan,” katanya.

Tambah beliau, inilah masanya kerajaan berbuat demikian jika kerajaan serius untuk menyelamatkan industri yang memberikan sumbangan sebanyak RM 86.14 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun lalu.

Namun, jika kerajaan terus bertangguh, maka kesannya akan lebih buruk ke atas ekonomi Malaysia. – MalaysiaGazette