Home Nasional Hina logo Jata Negara, polis akan panggil beberapa individu

Hina logo Jata Negara, polis akan panggil beberapa individu

Mior Faridalathrash Wahid

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil dalam masa terdekat beberapa individu daripada syarikat pengeluar kasut, yang didakwa mencetak logo Jata Negara di bahagian dalam kasut keluarannya bagi membantu siasatan.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 5(1) Akta Lambang dan Nama Mencegah Penggunaan Tidak Wajar, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Mereka yang terbabit akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.

Pada Sabtu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, tindakan tetap perlu diambil terhadap syarikat kasut yang didakwa mencetak logo Jata Negara di bahagian dalam kasut keluarannya, walaupun telah membuat permohonan maaf secara terbuka atas kesilapan itu.

Saifuddin berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana lambang kebesaran negara termasuk Jata Negara mesti dihormati, selain kejadian itu adalah yang kedua selepas kejadian hina Jata Negara, dalam penerbitan sebuah buku baru-baru ini.

Semalam, media melaporkan pengeluar kasut terbabit telah membuat permohonan maaf secara terbuka, selepas gambar kasut keluarannya yang mengandungi logo Jata Negara tular di media sosial dan mengarahkan pemberhentian pengeluaran produk itu dengan serta-merta. – MalaysiaGazette