Home Ekonomi LRT3 dijangka siap Februari 2024

LRT3 dijangka siap Februari 2024

Tajuddin Abdul Rahman

SHAH ALAM – Projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dijangka siap sepenuhnya pada 28 Feb 2024, kata Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Tajuddin Abdul Rahman.

Katanya, projek dengan jajaran sepanjang 37.8km itu yang menghubungkan penumpang dari koridor barat Lembah Klang dan pusat bandar raya Kuala Lumpur, sudah mencapai 33.12% setakat 30 Jun lalu.

Beliau berkata, projek LRT3 bakal memanfaatkan lebih 2 juta penduduk di kawasan itu dan mampu membawa kira-kira 67,000 penumpang sehari di peringkat permulaan, sebelum sistem rel urban “Greater Klang Valley” siap sepenuhnya.

“Selain mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di Lebuhraya Persekutuan Kuala Lumpur–Klang sekarang, penyambungan jajaran LRT3, yang berintegrasi dengan laluan LRT Kelana Jaya di Stesen Glenmarie, turut menjadi sandaran sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi,” katanya di Majlis Pelancaran U-Girder Projek LRT3 dan Majlis Makan Malam Pengerusi Prasarana bersama media malam tadi.

Tajuddin berkata, projek LRT3 buat pertama kali menggunakan blok “U-trough girder”, iaitu komponen pembinaan yang dibina terlebih dahulu di sebuah fasiliti di Bandar Saujana Putra sebelum dibawa ke tapak pelancaran.

Katanya, kaedah pembinaan itu dipilih kerana kos lebih efisien, tempoh kerja pembinaan lebih cepat dan improvisasi terhadap impak visual.

“Secara keseluruhan, projek ini akan menggunakan 2,060 unit ‘U-trough girder’ bagi melengkapkan jajaran berkenaan. Setakat ini, 158 unit sudah dibina dengan 24 unit sudah dilancarkan dan dipasang,” katanya. – MalaysiaGazette