Home Ekonomi Ringgit diniaga berhati-hati

Ringgit diniaga berhati-hati

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan berhati-hati berbanding dolar AS pada minggu depan tetapi dengan kecenderungan meningkat apabila mata wang tempatan itu mungkin berusaha untuk bergerak hampir ke paras psikologi 4.25, kata seorang penganalisis.

Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan berkata ringgit mungkin meningkat sekiranya sentimen risiko global terus kekal dan menangani keraguan terhadap impak COVID-19 ke atas ekonomi global.

“Bagaimanapun, sekiranya peserta pasaran memutuskan untuk mengehadkan minat risiko mereka ia akan meletakkan ringgit di landasan lemah berbanding dolar AS,” katanya Bernama.

Pada minggu depan, katanya, Malaysia dijangka melaporkan deflasi bagi bulan keempat berturut-turut dengan unjuran Indeks Harga Pengguna (IHP) Jun dijangka berada pada -1.8 peratus.

“Ini sepatutnya membantu bon Malaysia mengekalkan hasil sebenar yang menarik dan mengekalkan permintaan asing terhadap sekuriti pendapatan tetap dan dalam masa yang sama juga menyokong ringgit,” katanya.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini, mata wang tempatan diniagakan dalam jajaran ketat berbanding dolar AS dan berlegar di paras 4.26 – 4.27, katanya.

Tan berkata, ringgit merupakan antara kumpulan mata wang Asia yang ditutup tidak banyak berubah berbanding dolar AS, apabila minat risiko meningkat.

Dari segi prestasi mingguan, ringgit ditutup kukuh pada Jumaat berbanding dolar AS pada 4.2630/2680 daripada 4.2650/2690 pada minggu sebelumnya.

Berbanding mata wang utama lain, unit tempatan diniagakan bercampur-campur.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3467/3546 daripada 5.3773/3845 pada Jumaat minggu sebelumnya dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.9774/9836 daripada 3.9931/9979.

Bagaimanapun, unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0658/0698 daripada 3.0648/0684 dan turun berbanding euro kepada 4.8649/8719 daripada 4.8152/8210 – MalaysiaGazette