KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan sebelum ini untuk menilai dan mengkaji semula semua undang-undang berkaitan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 perlu disegerakan.
Presiden Majlis Penggunaan Bahan Terlarang, Datuk Izhar Abu Talib berkata, pihak berkuasa perlu menumpukan pada masalah bekalan dadah dan tidak lagi menghukum penagih.
Menurutnya, melabelkan penagih dadah sebagai penjenayah dan kemudiannya dihukum penjara sebenarnya tidak akan menyelesaikan ketagihan mereka sebaliknya akan merumitkan lagi keadaan, lebih-lebih lagi masa depan mereka.
Penagihan dadah sebenarnya perlu dilihat dari sudut perspektif penyakit yang perlu dirawat dan bukan dihukum dengan undang-undang
”Oleh itu, kita berharap cadangan tersebut dapat diteruskan oleh kerajaan kini bagi membantu golongan penagih untuk membina kembali kehidupan mereka.
“Penggunaan dadah haruslah lebih dilihat melalui sudut kesihatan sosial dan diselia melalui sektor kesihatan dan bukanlah ditangani melalui sistem pengadilan jenayah,” katanya kepada pemberita selepas menutup Bengkel ‘Permasalahan Penggunaan Dadah ATS’ anjuran Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (MASAC) di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi Yayasan Usahawan Malaysia, Datuk Seri Megat Shahriman yang turut menderma sebanyak RM10,000 bagi MASAC.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menambah, golongan penagih ini memerlukan bantuan pemulihan kerana ketagihan dadah ini adalah masalah kesihatan sosial yang perlukan rawatan, belas kasihan, selain intervensi psikososial di semua peringkat masyarakat.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini pernah merancang untuk menjadikan penggunaan dadah bukan lagi kesalahan jenayah dengan menubuhkan jawatankuasa khas dianggotai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Dalam pada itu, ketika ditanya tentang gejala penagihan dadah di negara ini, Izhar berkata, keadaan masih terkawal berbanding negara-negara luar.
”Masih dalam kawalan…kalau meningkat pun ia selari dengan peningkatan penduduk, masalah sosial dan masalah strata masyarakat,” tambahnya.
Bagaimanapun, menurut beliau, kerajaan juga terutamanya polis berhempas pulas memerangi isu dadah di negara ini.
”Kita juga ada pusat pemulihan dadah kerajaan dan swasta, masing-masing begitu efisien dalam memerangi dadah di negara ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette