Home Utama Bukit Aman akui wujud tawaran lulus peperiksaan naik pangkat

Bukit Aman akui wujud tawaran lulus peperiksaan naik pangkat

Abdul Rahim Jaafar. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Bukit Aman tidak menolak kemungkinan wujudnya usaha pihak tertentu yang menawarkan lulus peperiksaan bagi kenaikan pangkat pegawai Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan mengenakan bayaran tertentu.

Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, perkara itu boleh terjadi di peringkat pemarkahan apabila markah terkumpul boleh diubah sebelum sistem peperiksaan dinaik taraf.

“Ada tohmahan mengatakan boleh membayar jumlah tertentu itu untuk lulus peperiksaan dan sebagainya, saya percaya perkara itu mungkin wujud.

“Mungkin di peringkat mereka yang membuat pemarkahan, dikumpulkan semua markah itu mungkin dari situ dia boleh ubah.

“Sebelum ini pun ada soalan-soalan peperiksaan bocor, jadi kita terpaksa batalkan dan buat peperiksaan semula,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Jelasnya, ketika ini sistem peperiksaan baharu yang dikenali sebagai hermis diperkenalkan bagi mengatasi tohmahan itu.

“Sekarang kita pakai sistem hermis untuk elak campur tangan pihak tentu dalam proses pemarkahan.

“Sistem itu kita sudah ubah balik di mana mereka yang menerima markah itu dia akan ambil daripada jawatankuasa tertentu yang akan menilai balik.

“Sehinggalah jawatankuasa yang saya sendiri ketuai di mana markah yang mula-mula diterima dengan markah yang saya terima kita boleh buat perbandingan,” katanya.

Beliau memberi jaminan sistem baharu itu boleh membanteras usaha pihak tertentu untuk memasukkan nama pegawai tertentu untuk kenaikan pangkat tanpa melalui proses sebenar.

“Bagi kenaikan pangkat ASP kepada DSP, Inspektor kepada ASP. Banyak juga tohmahan yang kita terima mengatakan bahawa ada orang-orang tertentu boleh menyelitkan nama-nama yang tidak sepatutnya naik pangkat.

“Saya rasa tak susah untuk perkara itu berlaku. Kalau anda lihat sistem kita, sistem kenaikan pegawai ini kita bermula daripada Lembaga Temuduga yang kita lantik.

“Ada lima Lembaga Temuduga yang kita lantik di mana ia diketuai oleh ahli Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP). Apabila habis temuduga, mereka akan keluarkan senarai mengikut ranking

“Biasanya Lembaga Temuduga akan temuduga 400 hingga 500 orang, sebab untuk kenaikan pangkat kita bagi 500 orang,” jelasnya.

Katanya, sistem peperiksaan baharu juga mendapat pujian daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana proses kenaikan pangkat sangat ketat.

“Proses berikutnya ialah kita akan periksa dengan SPRM dan GIM adakah mereka ini ada siasatan oleh pihak-pihak berkenaan.

“Selepas lulus semua itu, barulah kita akan bentang balik kepada lima Lembaga Temuduga ini yang kita akan panggil balik.

“Ketua-ketua Pengarah SPRM memuji bahawa sistem yang kita ada itu cukup sukar untuk orang-orang tertentu masukkan nama, sebagaimana tohmahan yang kita selalu terima.

“Sebab itu kadang kala berbentuk tohmahan dan saya tak nafi bahawa perkara itu boleh berlaku. Apa saja sistem yang kita ada pun mereka cuba tembusi,” katanya.

Abdul Rahim berkata, sebelum ini pihaknya telah menangkap dalang di sebalik sindiket penukaran kawasan bertugas yang dilakukan sendiri oleh segelintir anggota PDRM.

“Saya tak nafi tohmahan itu kita tengoklah sama ada betul ataupun tidak. Saya tak nafi tentang perkara itu.

“Bila disebut oleh Ketua Polis Negara kemungkinan benda itu boleh berlaku. Tapi setakat ini saya tak jumpa.

“Apa saya sebut tentang pertukaran, itu memang betul, pernah tangkap lapan orang anggota kita melakukan perkara tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette