Home Pendapat Menyantuni pelajar mengangkat wibawa pendidik

Menyantuni pelajar mengangkat wibawa pendidik

Gambar hiasan

TEMPOH Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 banyak mengajar ramai insan menjadi lebih berempati dengan nasib yang dilalui insan-insan lain. Ada yang kehilangan pekerjaan, kemurungan kerana terlalu lama berkurung dalam rumah, dan tidak selesa menyendiri dalam dunia sendiri.

Dalam konteks pendidikan pula, para pensyarah dan guru sebagai pendidik berhadapan dengan cabaran besar untuk mengajar dalam platform digital. Ada pelajar yang tidak mendapat akses internet yang berkualiti, ada yang tidak mahir menggunakan platform pembelajaran digital, dan ada juga yang tidak mendapat sokongan yang sebaiknya akibat tidak bertemu secara berdepan. Saat-saat PKP telah membentuk satu titik penting buat para pendidik untuk menjadi lebih cakna dengan nasib para pelajar.

Bersangkutan saat-saat berlakunya PKP tersebut, pendidik telah didorong untuk membentuk satu kebolehan yang penting iaitu kemampuan menyantuni para pelajar. Pada saat PKP, pelajar sebenarnya mendambakan para pendidik untuk mendekati mereka kerana tidak mudah untuk para pelajar belajar dalam platform digital. Di sinilah pendidik dituntut untuk memiliki upaya menyantuni.

Apabila pelajar berasa bahawa pendidik dapat menyantuni mereka, timbul perasaan dalam diri pelajar bahawa pendidik peka dengan keadaan dan keperluan mereka. Ini menimbulkan rasa sayang para pelajar kepada para pendidik mereka. Di sini penulis akan mengemukakan tiga perkara yang membolehkan para pendidik menyantuni pelajar dengan lebih berkesan.

Mudah Didekati

Pendidik yang mempunyai ciri mudah didekati (approachable) adalah satu ciri penting pendidik yang berwibawa. Ini termasuklah pendidik bercitra seseorang yang berwajah ceria. Senyuman mempunyai tarikan tersendiri dalam menampilkan keceriaan wajah. Dalam agama Islam, senyum dianggap satu sedekah. Melemparkan senyuman kepada para pelajar, dengan selingan sedikit unsur jenaka yang sesuai, dapat mengeratkan hubungan pendidik dengan pelajar.

Sesuai dengan fitrah manusiawi, insan yang kelihatan ceria dan suka tersenyum akan lebih mudah didekati berbanding dengan yang bermuka masam. Ini juga terpakai dalam konteks pendidikan, termasuk pembelajaran dalam talian, misalnya. Pendidik dapat melakukan hal ini tatkala memasang butang “on” untuk video persidangan atau merekod video pengajaran yang berserta dengan wajah ceria dan bersemangat.

Selain itu, ciri mudah didekati juga bermaksud pendidik melayan pertanyaan dan panggilan yang dibuat oleh para pelajar. Membalas mesej pelajar, membuat semula panggilan ketika tidak dapat menjawab panggilan sebelumnya dan bertanyakan khabar antara usaha membina sifat mudah didekati. Ini juga menonjolkan sifat profesionalisme yang tinggi dalam kalangan para pendidik.

Menjadi Seorang Pendengar Yang Baik

Aspek kedua ialah keupayaan menjadi seorang pendengar yang baik. Ini termasuklah memahami cabaran yang dihadapi para pelajar untuk mendapat pembelajaran berkualiti dalam medium internet kerana rata-rata pelajar tidak biasa dengan pendekatan pembelajaran dalam talian dan secara tradisi belajar secara bersemuka.

Pendidik mampu menjadi pendengar yang baik andai dalam diri bersedia meluang masa seketika mendengar pandangan para pelajar dan mengambil kira keluhan dan rintihan pelajar. Menjadi pendengar yang baik adalah langkah permulaan kepada menjadi seorang pendidik yang mudah menyantuni pelajar. Ini bersangkutan dengan aspek pertama yang telah dikupas tadi.

Simbol paling cantik yang diciptakan Tuhan ialah dua telinga, kanan dan kiri, yang membawa makna mendalam terhadap keperluan mendengar sekurang-kurangnya dua sisi. Simbolik penciptaan agung oleh Tuhan wajar direnungi dengan sebaik-baiknya oleh para insan, khususnya para pendidik.

Memberi Maklumbalas Secara Positif

Maklumbalas yang diberi oleh pendidik kepada pelajar memainkan peranan penting dalam membina hubungan yang lebih bermakna antara kedua-dua pihak. Memberi maklumbalas
akan membolehkan pelajar mengetahui kekuatan dan kelemahan hasil kerja mereka.

Dalam soal memberi maklumbalas tentang kelemahan pelajar, pendidik amat perlu peka terhadap unsur emosi. Tidak semua pelajar dapat menerima serta-merta maklumbalas yang menyentuh kelemahan diri mereka.

Namun, dengan pendekatan yang lebih positif dalam memberi maklumbalas, pendidik boleh menukar nada maklumbalas kepada yang lebih berorientasikan nilai-nilai pengembangan potensi pelajar secara berterusan. Maksudnya ialah maklumbalas tentang kelemahan pelajar disampaikan dalam nada yang lebih optimistik, dengan mengemukakan cadangan-cadangan bernas untuk meningkatkan kualiti kerja pelajar.

Penulis percaya bahawa misi menjadi pendidik berwibawa adalah satu matlamat jangka panjang kerana banyak cabaran untuk menjadi pendidik sebegini. Tentu saja kesabaran pendidik akan teruji dengan tindak-tanduk para pelajar.

Namun, dengan cabaran sebeginilah pendidik akan menjadi lebih matang untuk bijaksana menangani sifat dan sikap pelajar yang kompleks dan pelbagai. Akhirnya, dengan kesabaran dan kebijaksanaan para pendidik, mereka akan kekal diingati dengan akhlak terpuji dan bahkan diingati setelah para pendidik meninggalkan dunia ini.

Muhammad Abd Hadi Bunyamin

 

Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).