KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dengan tegas menjelaskan dirinya tidak pernah mempunyai sebarang tuduhan di mahkamah membabitkan kes Tabung Haji (TH).
Ahli Parlimen Baling (BN) itu berkata, ahli Parlimen pembangkang boleh memeriksa status itu sekiranya belum jelas mengenai perkara tersebut.
“Saya belum dituduh lagi, untuk makluman (Ahli Parlimen) Langkawi (Tun Dr Mahathir Mohamad), saya tidak ada satu kes pun dituduh atas TH sampai dua tahun dua bulan ini, sila pergi periksa tuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi (Bebas) bangkit mencelah dengan mengatakan Dewan Rakyat bukan mahkamah untuk Abdul Azeez membuat penjelasan berhubung tuduhan ke atas dirinya.
Sementara itu, dalam sesi perbahasan sama, Abdul Azeez turut menggesa kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung dakwaan penyelewengan dalam TH.
Katanya, kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menubuhan RCI itu bagi memastikan kebenaran di sebalik skandal.
“Saya ingin mengusulkan (supaya) ada satu RCI ditubuhkan oleh kerajaan PN di bawah Pagoh (Muhyiddin) hari ini bagi mencari kebenaran di sebalik satu skandal yang amat memilukan orang Islam ini.
“Sekiranya ia ditubuhkan saya sendiri menawarkan diri untuk disiasat bagi memberi kerjasama bagi membuktikan kebenaran dan hakikat sebenar dalam institusi TH hari ini,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Azeez mendedahkan berhubung keputusan kerajaan terdahulu di bawah Pakatan Harapan (PH) melantik Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang mempunyai modal berbayar hanya RM1 untuk menstruktur semula Lembaga Tabung Haji.
Bekas Pengerusi TH tersebut berkata, maklumat itu baharu sahaja diperolehnya hasil carian dalam sistem Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Beliau seterusnya mempersoalkan keupayaan UJSB yang pernah menerima suntikan dana RM19.1 bilion untuk menyelesaikan masalah kewangan TH yang didakwa kononnya melibatkan nilai RM29 bilion.
“Setakat hari ini, syarikat ini telah mengambil alih aset-aset ini sampai hari ini hanya membayar RM100 juta sahaja,” tambahnya. – MalaysiaGazette