Home Ekonomi KSM panggil Top Glove dan Margma

KSM panggil Top Glove dan Margma

M. Saravanan

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) memanggil Top Glove Corporation Bhd. dan Persatuan Pengilang-Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan syarikat tersebut menggunakan buruh paksa.

Tegasnya, pertemuan bersama Menteri Datuk Seri M. Saravanan itu menunjukkan kerajaan tidak akan berkompromi dalam menangani isu buruh paksa dalam negara.

Ini kerana kesan sekatan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat itu akan menjejaskan kredibiliti dan imej negara di peringkat antarabangsa.

Ia juga boleh mempengaruhi keyakinan pelaburan asing di negara ini susulan wujudnya tuduhan elemen buruh paksa.

“Elemen buruh paksa juga berkait rapat dengan kemudahan penginapan yang disediakan oleh majikan kepada pekerja khususnya pekerja asing.

“Ini mengambil kira penguatkuasaan sepenuhnya oleh JTKSM terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja atau Akta 446 (PINDAAN) 2019 yang akan bermula sepenuhnya pada 1 September 2020.

“Penguatkuasaan Akta ini adalah selaras dengan piawaian antarabangsa yang digesa oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“KSM tidak mahu majikan tempatan di semua sektor pekerjaan termasuk industri getah mengambil tindakan yang bercanggah dengan Akta 446 yang mana majikan boleh disabitkan kelak dengan elemen buruh paksa,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

KSM turut mengarahkan majikan untuk melaksanakan Audit Kepatuhan Sosial Bebas  (ISCA) bagi memastikan pematuhan terhadap Standard Perburuhan Negara dalam kalangan majikan dipatuhi secara tuntas.

Menurut kenyataan tersebut, Top Glove pernah dikompoun oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan diberi notis oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di atas kesalahan melanggar prosedur standard operasi PKPP pada 13 Julai lalu kerana tiada penjarakan sosial dalam ruang kerja dan penyediaan rumah yang sesak.

Namun, tiada sebarang kesalahan melibatkan elemen buruh paksa dikesan ketika pemeriksaan tersebut.

Top Glove dan dua anak syarikatnya iaitu Top Glove Sdn. Bhd dan Tg Medical Sdn. Bhd telah dikenakan tindakan sekatan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) mulai 15 Julai 2020 kerana kaitan dengan elemen buruh paksa. -MalaysiaGazette