KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz hari ini dilantik sebagai Pemangku Ketua UMNO bahagian tersebut berikut penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib yang telah pulang ke rahmahtullah pada 15 Julai lalu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataannya hari ini berkata pelantikan tersebut berkuatkuasa serta-merta selaras dengan Fasal 15.7 Perlembagaan UMNO.
Beliau turut berkata pelantikan itu juga dibuat berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan pada 20 Julai lalu, katanya dipetik dari UMNO Online.
Mohd Khusairi, 59, yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada jam 4.15 petang di Hospital Bentong selepas tiba-tiba pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort sekitar 2.30 petang pada 15 Julai lalu.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Jamilah Nordin dan tujuh orang anak.
Mohd Khusairi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut sejak tahun 2004.- MalaysiaGazette