Home Nasional Orang luar punca jangkitan pusat jagaan warga emas Kluang – Noor Hisham

Orang luar punca jangkitan pusat jagaan warga emas Kluang – Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah percaya jangkitan yang menular di pusat jagaan warga emas, Taman Bahagia, Kluang di Johor berpunca daripada orang luar.

Jelas beliau, ini kerana pusat berkenaan merupakan antara sasaran Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini dalam melaksanakan penyaringan Covid-19 pada Mei yang lalu namun pada waktu itu tidak ada kes positif yang dikesan.

“Sebelum ini, saringan di pusat jagaan warga emas itu pada Mei mendapati tidak ada kes positif.

“Pengesanan adalah pada 10 Julai apabila kes mempunyai gejala dan dirawat oleh doktor persendirian dan kemudian dibawa ke hispital dan dikesan positif (Covid-19).

“Kita percaya jangkitan ini dibawa oleh sesorang daripada luar seperti yang berlaku di Sabak Bernam sebelum ini.

Sebab itu pentingnya siapa yang melawat perlu disaring kesihatannya,” katanya ketika sidang media tentang perkembangan semasa wabak Covid-19 di sini hari ini.

Justeru menurut Hisham penting untuk orang luar yang melawat pusat jagaan warga emas menjalani saringan kesihatan terlebih dahulu.

Dalam masa yang sama beliau mengesahkan pusat jagaan berkenaan kini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan saringan ujian Covid-19 masih dijalankan.

“Sekarang kami melaksanakan PKPD (EMCO) di pusat warga emas itu. Kita masih menjalankan siasatan. Saringan pun masih berjalan. Kami akan berikan perkembangan dari masa ke semasa,” beliau berkata.

Dilaporkan bermula semalam, terdapat anggota polis bersama sebuah balai bergerak ditempatkan 24 jam di hadapan pintu masuk pusat jagaan berkenaan.

Untuk rekod, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hari ini melaporkan 14 kes baru positif Covid-19 melibatkan kluster pusat jagaan warga emas tersebut.-MalaysiaGazette