Home Nasional Padah songlap wang syarikat, Ketua Akaun dihukum penjara lebih 5 tahun, denda

Padah songlap wang syarikat, Ketua Akaun dihukum penjara lebih 5 tahun, denda

Bekas ketua akaun sebuah syarikat pengangkutan swasta, Teo Chee Peng, 53, dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun beserta denda RM283,500 atas kesalahan pecah amanah dan memalsukan tanda tangan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas Ketua Akaun menerima padah apabila dihukum penjara serta denda selepas didapati bersalah atas 81 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM5,502,414.

Tertuduh, Teo Chee Peng, 53, yang telah berkhidmat dengan sebuah syarikat pengangkutan swasta selama lebih 27 tahun didapati meniru tandatangan majikan sejak 2012 hingga tahun ini.

Pada awalnya, tertuduh menghadapi 123 pertuduhan namun mahkamah juga mengambil kira tindakan tertuduh yang memulangkan sebahagian daripada jumlah pecah amanah tersebut.

Chee Peng membayar balik majikannya, Yap Choon Lai dengan memberikan dua aset miliknya berupa dua buah rumah di Cheras dan Jalan Ampang, di sini yang bernilai lebih RM2 juta selain sebuah kereta Audi dianggarkan bernilai RM400,000.

Selain itu, Chee Peng yang sudah berkahwin itu juga menawarkan aset ketiga miliknya berupa sebuah rumah di Gombak bernilai RM500,000 kepada majikannya.

Chee Peng membuat pengakuan pada kali pertama dan ketika semua pertuduhan itu dibacakan kepadanya dengan mengaku bersalah dan mahu hukuman dijatuhkan terhadapnya.

Hakim Mahkamah Seksyen, Hakim Hasbullah Adam kemudian memutuskan hukuman penjara lima tahun enam bulan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap selain denda sebanyak RM283,000 iaitu RM3,500 bagi setiap pertuduhan.

Seandainya tertuduh gagal membayar denda berkenaan, hukuman penjara akan disambung selama 567 hari penjara.

“Saya telah mengambil kira juga tertuduh telah memulangkan kembali sebahagian wang kepada majikannya dengan memberikan asetnya sendiri selain daripada kerjasama yang telah diberikan sepenuhnya oleh tertuduh.

“Saya jatuhkan hukum lima tahun enam bulan penjara berjalan serentak selain denda RM3,500 bagi setiap pertuduhan,” katanya.

Chee Peng yang kelihatan tenang namun lesu itu hanya mengangguk tanda setuju.

Malah ketika jurubahasa menunjukkan Chee Peng kertas pertuduhan satu persatu-satu, tertuduh seperti tidak kisah dan hanya mahu mengaku salah sahaja.

Berdasarkan kesemua pertuduhan, Chee Peng sebagai Ketua Akaun syarikat ketika itu didakwa melakukan pecah amanah dengan mengeluarkan 123 cek berjumlah RM5,502,414 kepada syarikat Revolusi Angkasa Sdn Bhd dengan meniru tandatangan pemilik yang juga pengarah syarikat, Choon Lai.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Jalan 1/46A Off Jalan Selinsing 7, Taman Niaga Waris di sini antara 12 Mei 2012 sehingga 17 Mac ini mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan denda. –MalaysiaGazette