PUTRAJAYA – Pematuhan kepada arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) khususnya ketika menjalani kuarantin wajib selama 14 hari adalah perkara penting yang tidak sepatutnya dilanggar, kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Jelas Ketua Pengarah Kesihatan itu, jangkitan dan penularan Covid-19 masih boleh berlaku jika mereka yang diperintahkan menjalani kuarantin wajib sama ada di rumah atau pusat namun mengabaikan kepatuhan SOP.
“Isunya ketidakpatuhan SOP, mereka yang dikuarantin di rumah tidak sepatutnya bergaul dengan ahli keluarga jika individu positif, meraka akan jangkiti ahli keluarga.
“Sekiranya kita tempatkan mereka di stesen kuarantin sekali pun tetapi mereka masih tidak patuh SOP, mereka juga mungkin dijangkiti sekiranya ada yang positif dalam kalangan mereka. Penting patuh pada SOP,” katanya dalam sidang media perkembangan berkenaan wabak berkenaan di sini hari ini.
Bagaimanapun Hisham menyambut baik keputusan kerajaan untuk kembali melaksanakan kuarantin wajib di pusat yang telah ditetapkan bermula 24 Julai 2020 sebagai usaha memutuskan jangkitan wabak Covid-19.
Baru-baru ini tular di media sosial, gambar seorang wanita yang dipercayai melanggar tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian (kuarantin) di rumah sehingga mencetuskan kebimbangan di kalangan netizen.
Gambar wanita berkenaan yang dilihat sedang makan di sebuah kafe jelas menunjukkan memakai gelang tangan (wristband) berwarna merah jambu di tangan kanannya.
Pemakaian gelang tangan berkenaan menandakan beliau di bawah kuarantin Covid-19.
Turut tular di media sosial gambar menunjukkan gelang tangan kuarantin berkenaan ditemui di lapangan terbang disyaki dicabut dan dibuang oleh individu yang baru tiba ke tanah air.
Sehubungan itu, Hisham memberi amaran individu yang melanggar SOP kuarantin di rumah dengan keluar ke tempat awam sewenangnya boleh ditangkap dan dikenakan tindakan undang-undang.
Tambahnya, polis yang sentiasa bekerjasama dengan KKM akan membuat pemantauan berterusan kepada mana-mana individu yang sedang menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.
“Yang sepatutnya di rumah masa kuarantin di rumah tetapi tidak ada macam di Johor, polis akan tangkap bawa ke mahkamah untuk tindakan seterusnya,” tambah beliau.
Hisham terdahulu memaklumkan pihaknya sedang memburu 63 individu yang enggan menjalani ujian swab kali kedua.
Mengulas mengenai pemakaian pelitup muka, senada dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau berkata, sehingga kini pihaknya masih mempertimbangkan keperluan untuk mewajibkan pemakaiannya.
Bagaimanapun buat kesekian kalinya beliau menjelaskan KKM sangat mengsyorkan pemakaian pelitup muka di khalayak umum kerana ia membantu dalam mencegah jangkitan wabak tersebut.
“Pihak KKM sangat sangat menggalakkan pemakaian pelitup muka terutama di kawasan khalayak umum. Sekarang kita belum mewajibkan kerana kalau kita mewajibkan di bawah Akta 342 kita akan pertimbangkan kerana ia akan dikenakan denda atau dipenjarakan kalau tidak pakai. Jadi kita masih melihat kepada tindakan atau denda atau penjara kalau,” ujarnya. -MalaysiaGazette