Home Nasional Siasat penyelewengan dana awam zaman PH – Jalaluddin

Siasat penyelewengan dana awam zaman PH – Jalaluddin

Datuk Seri Jalaluddin Alias

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran supaya menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat kemungkinan berlaku penyelewengan dana awam ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara selama 22 bulan.

Ahli Parlimen Jelebu (BN), Datuk Jalaluddin Alias membangkitkan perkara itu berkata, tindakan itu perlu kerana sudah terbukti PH yang memerintah selama hampir dua tahun telah mengambil hutang lebih banyak berbanding BN (Barisan Nasional) sebelum itu.

Katanya, beliau dimaklumkan ketika BN memerintah pada tahun 2016 hingga tahun 2017 jumlah hutang negara adalah RM78.8 bilion.

“Tetapi kerajaan PH yang memerintah selama kira-kira 22 bulan dari Mei 2018 hingga Februari 2020 mereka sudah berhutang sebanyak RM124.5 bilion dan ditambah pula dengan kutipan Tabung Harapan yang dianggarkan melebihi RM200 juta yang tidak pernah dibentangkan kepada umum mengenai kegunaannya.

“Malah, walaupun mereka membuat hutang begitu banyak namun harga saham dan pembayaran dividen terus menjunam manakala, pertumbuhan ekonomi turut menurun.

“Sepanjang 22 bulan PH memerintah lebih banyak aset negara dilelong, manakala hibah Lembaga Tabung Haji yang dibayar pada kadar lebih rendah berbanding zaman BN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Jalaluddin mengucapkan tahniah kepada kejayaan besar kerajaan Perikatan Nasional yang diperolehi dalam tempoh 100 hari pemerintahannya berbanding tempoh sama semasa era PH.

Beliau berkata, kejayaan menangani memperjuangkan hal ehwal dan kebajikan rakyat khususnya Covid-19 mendapat respon amat baik dalam kalangan rakyat berbanding 100 hari pemerintahan PH. – MalaysiaGazette