Home Nasional Tidak adil sekat industri sarung getah tanpa usul periksa – Saravanan

Tidak adil sekat industri sarung getah tanpa usul periksa – Saravanan

Menteri Sumber Manusia, M.Saravanan hadir pada sesi perjumpaan tertutup bersama Top Glove Corporation Bhd dan Malaysia Rubber Glove Manufactures Association (MARGMA) di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 21 JULAI 2020

PUTRAJAYA – Menteri Sumber Manusia, Datuk M.Saravanan kecewa terhadap tindakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) yang mengenakan sekatan ke atas pembuat sarung tangan getah Top Glove Corp Bhd tanpa membuat siasatan.

Berdasarkan siasatan awal Jabatan Kerja dan Tenaga mendapati tuduhan CBP yang pengeluar sarung getah terkemuka dunia itu menggunakan buruh paksa adalah tidak berasas.

“Saya telah mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja untuk menyiasat dan kebanyakan tuduhan itu adalah tidak berasas. Mereka (CBP) perlu menggunakan saluran yang betul, adalah tidak adil untuk menyekat kesemua industri ini (pembuat sarung getah).

“Mereka perlu benarkan kita jalankan siasatan, kita mempunyai hubungan baik.

“Mereka patut minta kita siasat dan tunggu laporan daripada kita, kemudian itu mereka boleh keputusan,” katanya kepada pemberita di kementeriannya hari ini.

Terdahulu Saravanan mengadakan pertemuan dengan Top Glove, Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah (Margma) bersama 40 pemain industri di sini hari ini.

Rabu lalu, Amerika Syarikat (AS) dilaporkan telah mengenakan sekatan ke atas produk pembuat sarung tangan getah terbesar di dunia iaitu syarikat Top Glove.

Berdasarkan laman web rasmi CBP AS, dua anak syarikat Top Glove iaitu Top Glove Sdn Bhd dan Tg Medical Sdn Bhd telah diletakkan dalam senarai sekatan.

Dalam pada itu, Saravanan sendiri akan mengadakan lawatan ke kilang pengeluar sarung getah terbabit yang didakwa menggunakan buruh paksa.

“Saya akan melawat Top Glove dengan pegawai kanan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan menjemput wakil daripada Amerika Syarikat supaya kita sama-sama melihat atau membuktikan bahawa tuduhan ini tidak berasas.

“Top Glove adalah keutamaan kita sebab dia dituduh tanpa sebab. Saya sendiri akan lawat kilang ini dan seterusnya bawa wakil Wisma Putra,” katanya.

Saravanan juga memberi amaran kepada agensi luar supaya tidak mencampuri urusan Malaysia dan melakukan tindakan yang boleh merugikan hubungan baik Malaysia-AS.

“Sekiranya ada apa-apa kekurangan dalam industri dalam Malaysia, saya harap agensi-agensi luar negara jangan campur tangan secara langsung.

“Sepatutnya berhubung dengan kementerian berkenaan minta penjelasan sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette