Home Nasional 2 kementerian diminta permudah bantuan OKU pendengaran

2 kementerian diminta permudah bantuan OKU pendengaran

Ras Adiba Radzi

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diharap dapat saling bekerjasama dalam memberi bantuan untuk memudahkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran mendapatkan alat bantu mendengar.

Selain kosnya yang agak tinggi, kekurangan kemudahan untuk menyelenggara alat bantu mendengar, merupakan suatu kekangan besar bagi golongan berkenaan.

“Saya mohon kepada kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat dan KPM agar beri sokongan kepada golongan ini kerana harga bateri mahal, adakala mereka yang ada peralatan itu pun tapi tidak dapat gunakan sebab tidak diselenggarakan,” kata Ahli Dewan Negara, Ras Adiba Radzi.

Beliau terdahulu hadir dalam sesi Dialog Peningkatan Akademik Murid Berkeperluan Khas (MBK) Kurang Upaya Pendengaran di sini hari ini.

Turut dibincangkan dalam dialog hari ini adalah kemahiran tenaga pengajar yang perlu ditingkatkan untuk kemaslahatan OKU pendengaran.

Penggunaan bahasa isyarat juga, ujar beliau lagi, perlu diselaraskan agar tidak menimbulkan kekeliruan.

Mengulas lanjut, Ras Adiba berkata, beliau akan membawa beberapa isu ini ke Dewan Negara yang dijadualkan bersidang pada September nanti.

Dalam tempoh ini, beliau akan mendengar pendapat dan maklum balas pelbagai pihak yang berkepentingan terlebih dahulu sebelum membentangkan kebajikan OKU pendengaran.

“Saya tidak boleh cakap sahaja sebagai OKU tetapi perlu memastikan sistem sokongan  terlibat.

“Saya pasti akan menyentuh tentang pendidikan, pekerjaan, kesihatan, infrastruktur sokongan dan banyak lagi,” ujar beliau.-MalaysiaGazette