KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Jun 2020 turun 1.9 peratus kepada 119.1 berbanding 121.4 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Penurunan ini didorong oleh penurunan indeks pengangkutan (-14.3%), perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (-2.6%), pakaian & kasut (-1.1%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (-0.2%) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran.
Walau bagaimanapun, makanan & minuman bukan alkohol terus meningkat pada Jun 2020 sebanyak 1.6 peratus kepada 134.9 berbanding 132.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.
Pelbagai barangan & perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 3.0 peratus diikuti komunikasi (1.6%), kesihatan (1.1%) dan pendidikan (0.8%).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata IHP tanpa bahan api berada pada kadar positif iaitu 0.2 peratus pada Jun 2020 berbanding 0.1 peratus yang
direkodkan pada Mei 2020.
IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali RON95, RON97 dan diesel.
Purata harga RON95 yang rendah pada Jun 2020 iaitu RM1.54 setiap liter berbanding
RM2.08 pada Jun 2019 telah menyumbang kepada perubahan negatif indeks pengangkutan dan indeks keseluruhan.
Tambahan pula, purata harga RON97 menunjukkan penurunan harga kepada RM1.84 per liter berbanding RM2.51 manakala diesel menurun kepada RM1.71 setiap liter daripada RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Indeks teras meningkat 1.2 peratus pada Jun 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada kenaikan ini adalah kumpulan pelbagai barangan & perkhidmatan (3.0%), komunikasi (1.6%) dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (1.4%).
Indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga
paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal.
IHP secara bulanan merekodkan kenaikan 1.0 peratus berbanding Mei 2020 disumbangkan oleh pengangkutan (7.8%), makanan & minuman bukan alkohol (0.4%), pelbagai barangan & perkhidmatan (0.4%), hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (0.1%), minuman alkohol & tembakau (0.1%) dan kesihatan (0.1%).
Sementara itu, IHP bagi suku tahun kedua 2020 menurun 2.6 peratus kepada 118.2 berbanding 121.3 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.
Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP mencatatkan penurunan 3.0 peratus berbanding suku tahun pertama 2020.
Indeks bagi semua negeri menunjukkan penurunan antara -1.3 hingga -2.7 peratus
bagi Jun 2020 berbanding Jun 2019 dengan penurunan tertinggi oleh Sabah dan Labuan (-2.7%) diikuti oleh Sarawak (-2.6%) dan Melaka (-2.6%).
Namun begitu, semua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan
makanan & minuman bukan alkohol.
Peningkatan tertinggi di Selangor dan Putrajaya (2.5%), Pahang (2.4%), Perak (2.2%), Johor
(2.0%), Pulau Pinang (1.9%) dan Negeri Sembilan (1.7%) dan ia melebihi paras nasional 1.6 peratus bagi kumpulan makanan & minuman bukan alkohol pada Jun 2020. – MalaysiaGazette