BARCELONA – Bintang sensasi, Lionel Messi pada mulanya diramal akan mendapat laluan mudah untuk mendominasi anugerah pemain terbaik La Liga selepas ketiadaan seterunya, Cristiano Ronaldo.
Apatah lagi musim ini, kapten Barcelona itu mempunyai statistik individu yang baik dan sekali lagi meraih Trofi Pichichi sebagai penjaring terbanyak liga dengan 25 gol.
Malah, dia turut memecahkan rekod 21 bantuan jaringan milik bekas rakan sepasukannya, Xavi Hernandez.
Pemain berusia 33 tahun itu juga menjadi pemain pertama dalam sejarah La Liga yang merekodkan 20 gol dan 20 bantuan jaringan dalam satu musim.
Sebelum itu, rekod tersebut hanya pernah dipegang oleh Thierry Henry dalam mana-mana liga utama Eropah walaupun pernah diketepikan selama sebulan akibat kecederaan.
Bagaimanapun, kegagalan untuk membantu pasukannya mempertahankan kejuaraan La Liga menyebabkan pembaca akhbar Sepanyol, Marca telah mengundi pemain lain untuk anugerah pemain terbaik musim ini.
Messi yang telah menggondol anugerah tersebut sembilan kali dalam tempoh 11 musim sebelum ini tewas kepada penyerang Real Madrid, Karim Benzema yang menjaringkan 21 gol musim ini sekaligus telah membantu The Los Blancos menjulang kejuaraan La Liga.
Pembaca memilih Benzema yang dinilai kerana menjadi watak penting kepada kejayaan Real membawa pulang trofi La Liga ke ibu kota Madrid.
Benzema mendapat 37 peratus undian berbanding Messi yang menerima 31 peratus.
Kapten Real Madrid, Sergio Ramos pula di kedudukan ketiga dengan 14 peratus diikuti pemain sayap Seville, Lucas Ocampos (empat peratus) dan penjaga gol Atletico Madrid, Jan Oblak (empat peratus).
Sementara itu, pasukan Granada CF telah diundi sebagai pasukan yang paling menginspirasikan selepas menamatkan saingan liga musim ini di tangga ketujuh walaupun baru sahaja dipromosi ke liga utama pada musim ini. – MalaysiaGazette