Home Nasional Ramkarpal mainkan rakaman untuk nafi kelirukan dewan

Ramkarpal mainkan rakaman untuk nafi kelirukan dewan

Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menetapkan pendirian bahawa rakaman audio yang pernah dimainkan dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini diambil pada tahun 2009.

Kenyataannya itu sekaligus memperbetul apa yang diperkatakannya semalam apabila beliau memberitahu dewan bahawa rakaman berkenaan diambil pada 2007.

“Saya sudah maklumkan kepada Dewan bahawa saya tidak pasti sama ada ucapan itu memang dibuat pada 2007 dan saya menyatakan ‘saya percaya ia berlaku pada 2007 jika saya tidak silap, apabila bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor (mendiang Karpal Singh) melakukan perkara sama,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau mengemukakan keratan hansard Parlimen dan rakaman video dari Youtube yang menunjukkan Karpal memainkan rakaman audio ketika sidang Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, Ramkarpal menafikan dakwaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, bahawa kenyataannya mengelirukan Dewan Rakyat.

“Saya dengan tegas menafikan dakwaan mengelirukan Dewan dan menyatakan memang ada duluan di mana bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor telah mainkan satu rakaman audio dalam Dewan pada 25 Februari 2009.

“Ucapan bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu boleh dilihat dan dimuat turun daripada laman Youtube dengan video bertajuk ‘Singh is KING…..KING is Singh2’ pada minit 3.50,” ujarnya.

Terdahulu, Takiyuddin dalam satu kenyataan menuntut Ramkarpal menunjukkan bukti mengenai dakwaannya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong semalam, bahawa Dewan Rakyat pernah membenarkan bahan audio atau video dimainkan dalam sidang pada 2007.

Takiyuddin berkata, kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan ahli parlimen DAP itu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengelirukan Dewan.

Menurut Takiyuddin lagi, semakan terhadap rekod Parlimen menunjukkan tiada duluan sedemikian yang pernah berlaku di Dewan Rakyat pada 2007.

Sehubungan itu, kata Takiyuddin, dakwaan Ramkarpal adalah perbuatan mengelirukan dewan, dan boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mengikut Peraturan 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, jika Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu gagal membuktikannya.

Sementara itu, Ramkarpal turut menggesa Takiyuddin agar membuat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan.

“Saya cuma betulkan (kenyataan yang salah). Saya tak datang Dewan untuk kelirukan. Saya gesa menteri periksa rekod sebelum buat kenyataan melulu,” katanya. – MalaysiaGazette