Home Nasional 13 lelaki, empat wanita ditahan anjur pesta liar

13 lelaki, empat wanita ditahan anjur pesta liar

PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Seramai 13 lelaki dan empat wanita berusia antara 18 hingga 35 tahun ditahan dalam satu serbuan di sebuah premis di Kubang Kerian di sini, kerana menganjurkan pesta liar, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Mohamad Piah berkata dalam kejadian pada pukul 3.15 pagi, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan menahan kesemua suspek yang sedang khayal ketika leka menikmati muzik.

“Serbuan ke atas premis berkenaan telah menemukan 600 biji pil ecstasy yang dianggarkan bernilai RM18,000 disorokkan dalam bungkusan plastik pos laju di dalam sebuah almari di premis berkenaan.

“Siasatan awal mendapati premis berkenaan telah disewa dengan harga RM350 semalam untuk menganjurkan pesta itu,” katanya pada sidang media di IPK Kelantan di sini, hari ini.

Abdullah berkata suspek utama iaitu seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai mengambil bekalan dadah dua kali sebulan di Kuala Lumpur dan menganjurkan pesta liar bertujuan untuk menjual dadah kepada pelanggannya.

“Ini adalah kes pertama di Kelantan pada tahun ini membabitkan rampasan pil ecstasy dalam jumlah yang banyak dan ujian air kencing ke atas kesemua suspek yang merupakan penggangur mendapati mereka positif methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 29 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 10 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam kes berasingan, Abdullah berkata polis menahan seorang lelaki berusia 23 tahun yang sedang duduk di atas sebuah motosikal pada pukul 6.45 petang semalam di tepi jalan di Desa LPT Kebakat, Wakaf Bharu, Tumpat.

Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan satu bungkusan plastik di dalam raga motosikal yang mengandungi 1,980 biji pil kemerahan dan 20 biji pil kehijauan dipercayai pil yaba yang dianggarkan bernilai RM20,000, selain wang tunai berjumlah RM16,200.

“Selain itu, polis turut menyita sebuah motosikal bernilai RM3,000 daripada suspek yang turut mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan dipercayai mula menjadi pengedar barangan terlarang tersebut sejak tiga bulan lepas bagi kawasan Wakaf Bharu.

“Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 29 Julai depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

— BERNAMA