Home Nasional 40 jemaah tabligh rakyat Malaysia dari India kembali ke tanah air

40 jemaah tabligh rakyat Malaysia dari India kembali ke tanah air

Sebahagian rakyat Malaysia yang terkandas di India sejak Januari 2020 dibawa menaiki bas untuk dihantar ke pusat kuarantin AKEPT dan ILKAP bagi mencegah penularan wabak Covid-19 sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 JULAI 2020.

PUTRAJAYA – Seramai 40 jemaah tabligh rakyat Malaysia termasuk dua yang telah selesai kes perbicaraan di Saharanpur, Uttar Pradesh, selamat tiba di tanah air semalam dari India, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Kamaruddin Jaffar.

Beliau berkata mereka merupakan kumpulan kedua jemaah tabligh yang kembali ke Malaysia selepas kumpulan pertama yang terdiri daripada 62  jemaah tabligh pulang pada 18 Julai lepas.

Kumpulan kedua itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi pesawat Air India Express kira-kira 2.45 petang semalam, menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

“Semua rakyat Malaysia yang berkenaan diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 setibanya di KLIA dan perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi, untuk pemantauan lanjut,” katanya.

Kamaruddin yang juga  Pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Kementerian Luar berkata masih terdapat 87 jemaah tabligh rakyat Malaysia yang berada di India.

Beliau berkata daripada jumlah itu, seramai 25 jemaah tabligh di New Delhi dijangka pulang ke tanah air pada 29 Julai ini.

Seramai 52 jemaah tabligh pula berada di beberapa wilayah di India seperti Bihar, Jharkand, Telangana, Tamil Nadu serta Maharashtra dan sedang menjalani proses perundangan, katanya.

Sembilan lagi jemaah tabligh masih berada di Kolkata, Bengal Barat dan sedang menanti prosedur perundangan seterusnya, manakala seorang jemaah tabligh di Amravati, Maharashtra tidak dikenakan apa-apa pertuduhan, katanya.

Kamaruddin berkata Kementerian Luar menerusi perwakilan-perwakilan Malaysia di India akan terus memantau secara berterusan perkembangan situasi tersebut dan memberikan bantuan konsular yang sewajarnya untuk memastikan kebajikan mereka terpelihara.

Beliau berkata kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India juga akan dipergiatkan lagi dalam usaha untuk memudah cara kepulangan mereka ke tanah air.

— BERNAMA