Home Utama 1MDB: Goldman Sachs setuju bayar AS$3.9 bilion

1MDB: Goldman Sachs setuju bayar AS$3.9 bilion

KUALA LUMPUR – Goldman Sachs Group Inc. telah bersetuju untuk membayar AS$3.9 bilion bagi jumlah penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak berkaitan tiga urus niaga bon yang telah disusun dan diaturnya untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kementerian Kewangan berkata, dengan jumlah penyelesaian itu dan wang yang telah diterima oleh Malaysia dari Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), lebih dari AS$4.5 bilion akan dikembalikan kepada rakyat Malaysia.

Katanya, penyelesaian itu merangkumi pembayaran tunai AS$2.5 bilion dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion daripada segi aset yang berkait dengan hasil yang telah diseleweng melalui tiga urus niaga bon tersebut.

“Goldman Sachs, atas biayanya sendiri, juga akan membantu Kerajaan Malaysia dalam melantik pakar pemulihan aset untuk mendapatkan kembali aset-aset lain yang kini berada di luar Malaysia.

“Jumlah penyelesaian ini merupakan satu peningkatan yang ketara jika dibandingkan dengan tawaran sebelumnya sebanyak
AS$1.75 bilion yang dibuat oleh Goldman Sachs kepada pentadbiran Kerajaan pada tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, penyelesaian itu mewakili aset yang merupakan hak rakyat Malaysia.

“Kami yakin persetujuan ini telah berjaya mencapai jumlah pengembalian aset yang jauh lebih banyak daripada Goldman Sachs berbanding nilai yang ditawarkan terdahulu yang jauh di bawah jangkaan.

“Kami juga bersyukur dapat menyelesaikan hal ini di luar sistem pengadilan, yang akan menelan banyak waktu dan sumber kewangan,” ujar beliau.

Menurut Tengku Zafrul, dengan penyelesaian itu, kerajaan dapat
mempercepatkan pengembalian aset tanpa melalui proses pengadilan yang tentunya mahal dan rumit.

Tambah beliau, penyelesaian oleh Goldman Sachs itu juga merupakan satu pengakuan salah laku oleh dua bekas pegawainya di dalam skim penipuan dan rasuah 1MDB.

Katanya, penyelesaian itu tidak akan menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap Jho Low dan individu lain yang berkaitan dengan skandal penyelewengan 1MDB. – MalaysiaGazette