BEIRUT – Dua jet pejuang Amerika Syarikat (AS) menghampiri sebuah pesawat penumpang Iran di ruang udara Syria, menyebabkan juruterbang terpaksa mengubah ketinggian dengan cepat untuk mengelakkan perlanggaran dan mencederakan beberapa penumpang, lapor agensi berita rasmi IRIB.
Agensi itu pada mulanya memaklumkan sebuah jet Israel telah mendekati pesawat tersebut.
Tetapi IRIB kemudian memetik kenyataan juruterbang itu bahawa dua juruterbang jet pejuang itu memperkenalkan diri sebagai warga AS.
Juruterbang pesawat penumpang menghubungi juruterbang jet berkenaan untuk memberi amaran kepada mereka supaya menjaga jarak yang selamat, lapor IRIB.
Video yang disiarkan oleh agensi itu menunjukkan satu jet dari tingkap pesawat dan komen-komen daripada seorang penumpang yang berlumuran darah di wajahnya.
Pesawat Iran, milik Mahan Air, sedang menuju dari Teheran ke Beirut dan mendarat dengan selamat di Beirut, kata sumber lapangan terbang kepada Reuters.
Setakat ini belum ada sebarang kenyataan daripada tentera Israel mahupun Israel.
Kejadian itu sedang disiasat dan jurucakap Kementerian Luar Iran, Abbas Mousavi tindakan undang-undang dan politik yang diperlukan akan diambil.
Dalam satu mesej telah disampaikan kepada duta besar Switzerland di Teheran, negara itu memberi amaran bahawa Iran akan membuatkan Amerika Syarikat bertanggungjawab jika apa-apa berlaku kepada pesawat tersebut.
Switzerland adalah wakil AS di Iran.
Israel dan Amerika Syarikat telah lama menuduh Mahan Air mengangkut senjata untuk gerila Iran di Syria dan di tempat lain.
Amerika Syarikat mengenakan sekatan ke atas Mahan Air pada tahun 2011 berikutan dakwaan memberi sokongan kewangan dan lain-lain kepada Pengawal Revolusi Iran.
Seorang penumpang yang dipetik dalam laporan IRIB memaklumkan kepalanya terhantuk di bumbung pesawat semasa perubahan ketinggian dan video menunjukkan seorang penumpang warga tua tergolek di atas lantai.
Ada penumpang yang cedera ringan, menurut lapangan terbang Beirut kepada Reuters.
Pesawat itu telah meninggalkan Beirut untuk ke Tehran. – MalaysiaGazette