PETALING JAYA – Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyemak semula unjuran jumlah industri (TIV) kepada 470,000 unit berbanding 400,000 unit yang dibuat sebelum ini berikutan pengecualian cukai penjualan kerajaan dan pengenalan model baharu dengan harga kompetitif.
Faktor-faktor ini berupaya mengekalkan minat belian.
Di bawah Pelan Pemulihan Jangka Pendek, kerajaan memberi pengecualian penuh cukai jualan bagi kenderaan yang dipasang kereta penumpang pemasangan tempatan (CKD) dan antara 10% hingga 5% peratus bagi model import sepenuhnya (CBU) sehingga 31 Disember ini.
Meskipun begitu, Presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad berkata, sentimen pengguna masih lagi lemah disebabkan ketidaktentuan ekonomi.
Menurutnya, kebanyakan perniagaan menangguhkan pelaburan mereka ekoran ekonomi tidak menentu.
“Selain itu, semakan yang ketat oleh institusi-institusi kewangan ke atas permohonan pinjaman kenderaan,” katanya dalam taklimat jualan MAA di sini.
Sementara itu, TIV pada separuh pertama tahun 2020 menjunam 41.1% kepada 174.675 unit dari 296.317 unit pada tempoh yang sama sebelumnya ekoran Perintah Kawalan Pergerakan untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19 yang telah mengganggu ekonomi.
Pada bulan April lalu, MAA menyemak semula ramalan TIV 2020 kepada 400,000 unit daripada 607,000 unit yang diunjurkan pada bulan Januari lalu – kali pertama dalam tempoh 13 tahun TIV gagal mencecah 500,000 unit.-MalaysiaGazette