SINGAPURA – Minyak naik dalam dagangan hari ini ketika dolar jatuh ke paras terendah hampir dua tahun, walaupun kebimbangan permintaan berpunca daripada peningkatan kes koronavirus dan ketegangan hubungan Amerika Syarikat-China.
Dolar merosot ke paras terendah 22 bulan berbanding sekumpulan mata wang.
Kejatuhan nilai mata wang itu biasanya mendorong pembelian komoditi pada harga dolar, seperti minyak, kerana harga menjadi lebih murah bagi pemegang mata wang lain.
Minyak mentah Brent naik sebanyak AS$0.15 atau 0.4%, kepada AS$ 43.46 setong pada 0137 GMT, dan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) naik AS$0.12 atau 0.3% kepada AS$ 41.19.
“Harga minyak mentah cuba untuk stabil kerana jangkaan masih tinggi bahawa Kongres akan berjaya memberikan satu lagi pakej bantuan pandemik untuk Amerika Syarikat, kata Edward Moya, penganalisis pasaran kanan di OANDA di New York.
“Data ekonomi AS semalam menunjukkan pemulihan ekonomi sedang bergelut dan hampir menjamin lebih banyak bantuan persekutuan akan datang,” katanya.
Jumlah orang Amerika yang mengemukakan permohonan untuk mendapatkan faedah pengangguran tidak dijangka meningkat kepada 1.416 juta minggu lalu untuk pertama kalinya dalam hampir empat bulan.
Ini menunjukkan pemulihan ekonomi AS terhenti di tengah-tengah kebangkitan semula kes Covid-19.
AS merekodkan lebih 1,000 kes Covid-19 – kenaikan tiga hari berturut-turut selepas penularan berlaku di selatan dan barat AS.
Di peringkat dunia, lebih 15 juta dijangkiti dan 620,000 orang pula meninggal dunia akibat pandemik itu. – MalaysiaGazette