KUALA LUMPUR – Multimedia Universiti (MMU) muncul sebagai universiti pertama di negara ini menganjurkan pertandingan debat secara maya berikutan penyesuaian pelajar-pelajar institusi pendidikan dalam norma baharu ekoran wabak Covid-19.
Dengan penggunaan aplikasi teknologi digital, Pertandingan Debat Maya MMU 2020 (DMMU) yang dianjurkan baru-baru ini mencipta dimensi baharu dalam penganjuran debat bahasa Melayu ala Parlimen secara dalam talian membabitkan 78 pelajar dari 20 buah sekolah menengah seluruh negara termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah menengah agama.
Pertandingan anjuran Sekretariat Debat MMU itu diadakan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (STAD) MMU dengan mengetengahkan tajuk ‘Menjuarai Norma Baharu’. Ia menyerlahkan kepetahan para peserta berhujah dan mempertahankan idea mereka menerusi aplikasi Zoom yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan YouTube Live di platform @DebatMayaMMU.
Pengarah program, Yusri Azpansyah berkata, pertandingan ini bertujuan untuk membudayakan kemahiran pengucapan awam selain memupuk keupayaan berfikir secara kritis dalam kalangan pelajar berhubung isu-isu semasa. “Pertandingan ini juga bertujuan untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang merupakan antara elemen utama penilaian dan penghakiman debat,” katanya.
Menurutnya, barisan hakim DMMU2020 bukan sahaja daripada kalangan alumni debat dan pendebat MMU tetapi juga dari beberapa institusi pengajian tinggi lain.
Ketika merasmikan pertandingan itu, Pengarah STAD, Dr. Abdullah Sallehhuddin Abdullah Salim berkata, beliau berbangga dengan penglibatan mahasiswa MMU selaku penganjur perdebatan norma baharu berkenaan yang sememangnya mempunyai cabaran tersendiri. “Ia mampu memantapkan lagi proses kemenjadian pelajar sekolah sejajar dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 walaupun negara dilanda wabak COVID-19,” katanya.
Pada pertandingan tersebut, Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu (SMAPL), Negeri Sembilan muncul juara apabila mengalahkan Maktab Rendah Sains Mara Kuantan (MRSMKU), Pahang. SMAPL menerima hadiah wang tunai RM1,000 bersama plak iringan dan sijil penyertaan. Lebih menggembirakan, pendebat terbaik pusingan akhir dimenangi oleh pendebat SMAPL, Muqri Hakim Mustazha. Pada pusingan akhir debat, mereka membahaskan usul bertajuk: Dewan Ini Percaya Sudah Tiba Masanya Akta Jenayah dan Anti Buli Siber Dilaksanakan’. – MalaysiaGazette