BANGKOK – Polis Thailand melumpuhkan sindiket perjudian dalam talian dan menahan 16 pekerja dalam satu serbuan di sebuah kondominium di wilayah selatan Narathiwat, dalangnya sedang diburu – dipercayai warga Malaysia.
Pegawai penyiasat di Sungai Kolok, Narathiwat, Leftenan Kolonel Alumt Mekarat berkata, Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD) dan anggota polis Sungai Kolok menyerbu kondominium itu pada Rabu.
Hasil maklumat dan siasatan selama sebulan, beliau berkata polis menahan 16 orang berusia antara 23 dan 30 tahun – empat warga Thailand dan 12 Myanmar selain merampas wang tunai RM14,500.
“Siasatan awal mendapati, seorang rakyat Malaysia, dengan nama panggilan KG, dipercayai menjadi dalang dan semua wang akan dipindahkan ke akaun miliknya.
“Kita akan minta bantuan rakan dari Malaysia untuk memburu dalang itu,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Katanya, semua suspek ditahan dan akan didakwa melakukan perjudian haram serta melanggar perintah darurat.
Polis percaya sindiket itu menggunakan kondominium itu sebagai pusat operasi dan asrama pekerja.
Rekod transaksi sebanyak 389 bilion baht turut ditemukan di salah satu komputer riba yang dirampas. – Bernama