Home Nasional Tingkatkan pembudayaan amalan kebersihan, kempen jangan ‘bermusim’

Tingkatkan pembudayaan amalan kebersihan, kempen jangan ‘bermusim’

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Seri Annuar Musa meluangkan masa melawat sekitar kawasan fasiliti inovasi pada Majlis Perasmian Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di Presint 5, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 25 JULAI 2020

PUTRAJAYA – Tan Sri Annuar Musa mahu melihat tahap kebersihan di semua kawasan Wilayah Persekutuan sentiasa meningkat secara konsisten.

Justeru ujar Menteri Wilayah Persekutuan, pembudayaan terhadap amalan kebersihan dan tanggungjawab sebagai rakyat perlu diterapkan.

“Kalau pembudayaan tidak dapat diterapkan kepada rakyat, payah nak selesai proses pembudayaan, saya harap carilah jalan melalui kempen dan fasiliti.

“Jangan kerana Covid-19 pasar bersih (contoh). Angkat kebersihan negara kita, Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan to the next level kalau dah indah indahkan lagi, kalau dah bersih, bersihkan lagi,” katanya ketika menyampaikan ucapan ketika merasmikan Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) di sini hari ini.

Tambahnya, kempen amalan kebersihan juga perlu konsisten menerusi pelbagai platform seperti media sosial dan televisyen.

“Kempen kebersihan kita saya lihat bermusim, hangat-hangat tahi ayam,” katanya lagi.

Dalam pada itu, selari dengan hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran kadar kitar semula sebanyak 30 peratus pada tahun ini, Alam Flora Sdn Bhd selaku sebuah syarikat konsesi sisa pepejal dan pembersihan awam di negara ini mengambil langkah proaktif membina FIKS di Putrajaya.

FIKS merupakan pusat pembelajaran untuk orang awam terutamanya pelanar mengetahui lebih lanjut tentang proses kitar semula, pengasingan, pemulihan sisa dan bagaimana rakyat memainkan peranan.

Antara fasiliti dan kemudian yang disediakan di FIKS adalah Hab Ilmu, Butik 3R, Perpustakaan, Pusat Belian Balik Barangan Kitar Semula, Tempat Permainan dan juga Fasiliti Kitar Semula (IRF).

FIKS ini merupakan yang pertama di negara khususnya di Putrajaya.

FIKS akan dibuka kepada orang ramai bermula hari ini dari 9 pagi hingga 4 petang kecuali Ahad dan cuti umum.

Turut hadir dalam Majlis Perasmian FIKS hari ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Datuk Zain Hassan dan Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Dr Aminuddin Hassim l.-MalaysiaGazette