Home Nasional Individu gagal laksana ujian saringan ke-2 diheret ke mahkamah – Ismail Sabri

Individu gagal laksana ujian saringan ke-2 diheret ke mahkamah – Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob government corruption MACC
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Mulai esok, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan menangkap dan mendakwa di mahkamah mana-mana individu yang masih belum tampil untuk ujian saringan kedua pada hari ke-13 kuarantin di rumah.

Indvidu yang terbabit diarahkan untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat untuk melakukan ujian saringan kedua, kata Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, bermula 24 Julai lalu, kerajaan telah memutuskan supaya semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warganegara asing yang masuk ke Malaysia (ekspatriat, pasangan dan tanggungan rakyat Malaysia) perlu menjalani perintah kuarantin wajib 14 hari di Stesen Kuarantin yang ditetapkan.

Mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin termasuk kos ujian saringan Covid-19.

Sehingga kini, seramai 839 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di enam Stesen Kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

Mereka ini telah pulang dari 17 negara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran,
Bangladesh, China dan Australia.

Dalam kenyataan mengenai pelaksanaan hari ke131 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hari ke-45 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, Ismail Sabri berkata, polis telah menahan 617 individu atas kesalahan ingkar PKP semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 20 individu telah direman manakala 597 individu lagi dikenakan kompaun.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pub dan kelab malam (331) dan aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (286). – MalaysiaGazette