KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin secara terang-terangan menegur parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) agar tidak mudah goyang dengan ketetapan yang telah diputuskan selama ini untuk mengangkat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
Jelas beliau, sebagai satu gabungan pembangkang yang baharu, PH seharusnya tidak perlu goyah dengan segala cabaran politik yang mendatang.
“Kita beri jaminan dalam program konvensyen ini kita nak tegur rakan komponen jangan goyang dengan pendirian yang telah kita putuskan kepada rakyat.
“Kita tidak boleh berganjak dengan janji kita bahawa Anwar Ibrahim akan kita angkat sebagai Perdana Menteri.
“Jangan kalut sikit, cadang orang lain,” katanya dalam ucapan sempena Konvensyen Penerangan Keadilan 2020 di Ampang hari ini.
Turut hadir adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.
Pada penghujung Jun lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cadangan supaya Presiden Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjadi calon Perdana Menteri bagi PH dan sekutunya dipersetujui sebulat suara dalam pertemuan tidak rasmi gabungan itu.
Mahathir dalam kenyataan ketika itu berkata, perbincangan tidak rasmi itu dihadiri Shafie, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; beberapa pimpinan DAP termasuk Setiausaha Agung, Lim Guan Eng; Tan Kok Wai, Anthony Loke, M Kulasegaran dan Liew Chin Tong. Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Wira Marzuki Yahya turut hadir.
Malah pada 14 Julai lalu, Shafie mendedahkan DAP dan Amanah yang mula-mula mencadangkan namanya. – MalaysiaGazette