
AMPANG – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis bahawa parti pimpinannya itu telah siap sedia untuk menghadapi sebarang Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut.
Ujarnya, walaupun keadaan semasa tidak sesuai untuk proses itu berlangsung disebabkan kebimbangan berlakunya gelombang kedua wbak Covid-19 namun ia tidak perlu menjadi alasan untuk Pakatan Harapan (PH) tidak bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Semua jentera parti di seluruh negara sudah bersiap sedia (menghadapi PRU mengejut) walaupun kita mempunyai mandat selama tiga tahun lagi tetapi kita tidak akan mengambil sebarang risiko.
“Kami telah bersiap sedia. Sejak pertemuan di Selangor, sebelum itu di Negeri Sembilan.
“Semua jentera parti di seluruh negara sudah bersiap sedia (menghadapi PRU mengejut) walaupun kita mempunyai mandat selama tiga tahun lagi tetapi kita tidak akan mengambil sebarang risiko,” katanya kepada media selepas menghadiri Konvensyen Penerangan Keadilan 2020 di Ampang hari ini.
Dalam pada itu, Pengerusi PH itu berkata, perbincangan dengan kumpulan penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim di Perak masih dalam perbincangan.
Ujarnya ia adalah permintaan daripada Dr Mahathir sendiri yang mengatakan pendiriannya untuk meletakan calon atas tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu Blackout).
“Sebab dia (Dr Mahathir) mintak dalam perjumpaan itu oleh kerana Bersatu bertanding di PRK Slim, jadi kita tak mahu ada perpecahan di kalangan pembangkang. Dia tidak dalam PH,” katanya.
Anwar semalam menafikan telah menyerahkan kerusi PRK DUN Slim, Perak untuk ditandingi oleh kumpulan penyokong Dr Mahathir.
Beliau turut berkata perkara itu masih dibincangkan oleh PH dan bekas perdana menteri berkenaan dan sebarang keputusan dijangka diumum Selasa ini.
“Kita tak mahu bagi alasan kita ambil tindakan tanpa berunding. Jadi kita berunding dulu, dan pasukan jumpa dengan mereka.
“Kita kata pasukan berunding, kalau dia nak bertanding, kita kena bawa balik ke PH keputusan kita,” jelas Anwar lagi.
Ditanya samada PH mahupun kumpulan Mahathir sudah mempunyai calon, Anwar berkata, calon yang akan dikemukakan sudah disenaraikan namun ia akan diputuskan Selasa depan.
“Calon yang sesuai mereka bangkitkan ada dalam senarai tapi belum putuskan,” katanya lagi.
Jumaat lalu, bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya sebagai berkata kumpulan yang menyokong Tun Dr Mahathir akan meletakkan calon pada PRK itu selepas wakil Majlis Presiden PH menyatakan mereka tidak akan bertanding.
Suruhanjaya Pilihan Raya pada Jumaat lepas menetapkan PRK DUN Slim diadakan pada 29 Ogos dengan hari penamaan calon pada 15 Ogos dan pengundian awal pada 25 Ogos.
PRK berkenaan diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, akibat serangan jantung pada 15 Julai lalu. – MalaysiaGazette