KUALA LUMPUR – Jualan ekuiti oleh pelabur asing meningkat kepada RM910.2 juta pada minggu lalu berbanding RM905.9 juta minggu sebelumnya.
Ia merupakan jualan untuk minggu ke-23 berturut-turut.
Dalam laporan aliran dana mingguannya, MIDF Research berkata, setakat ini, pelabur asing telah melupuskan RM18.8 bilion ekuiti tempatan.
Setakat ini, pelabur asing telah melupuskan sejumlah RM18.8 bilion ekuiti tempatan di Bursa Malaysia.
Meskipun begitu, berdasarkan perbandingan dengan enam pasaran lain, Malaysia masih menyaksikan aliran keempat terkecil di Asia tahun ke tahun.
Bursa Malaysia menyaksikan aliran keluar bersih setiap hari pada minggu lalu.
Ketika urus niaga dibuka pada hari Isnin minggu lalu, pelabur asing menjual sebanyak RM110.7 juta ekuiti tempatan.
Angka aliran keluar asing itu meningkat kepada RM295.8 juta, susulan pengumuman kerajaan yang akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika kes Covid-19 meningkat semula.
Namun ia reda pada hari Rabu dan Khamis yang menyaksikan kemasukan asing, masing-masing sebanyak RM137.3 juta dan RM23.4 juta disebabkan peningkatan Indeks Terkemuka Malaysia (LI) 0.6% tahun ke tahun pada bulan Mei 2020 berbanding penurunan 5.7% tahun ke tahun pada April 2020 yang diumumkan pada hari Khamis minggu lalu.
MIDF Research berkata, ia merupakan pertumbuhan pertama sejak Februari 2020, menandakan pemulihan ekonomi sejak PKP sudah pun bermula.
Tetapi, pelabur-pelabur asing masih dalam risiko susulan hubungan Amerika Syarikat dan China yang semakin merosot selepas Washington meminta Beijing menutup konsulatnya di Houtson, Texas dalam tempoh 72 jam.
Bursa menyaksikan aliran keluar terbesar pada hari Jumaat iaitu sebanyak RM342.8 juta selepas China memerintahkan Amerika Syarikat menutup konsulatnya di Chengdu, mendorong ketidaktentuan dalam hubungan dua kuasa besar ekonomi itu.
Dalam tiga pasaran Asia Tenggara yang dijejaki minggu lalu, Malaysia masih merekodkan aliran keluar terbesar, manakala Filipina terkecil.
Dari segi penyertaan, pelabur-pelabur asing meningkatkan nilai dagangan purata harian sebanyak 0.1% kepada RM1.4 bilion, melepasi paras RM1.0 bilion. – MalaysiaGazette