Home Nasional KJM 2020 sasar sumbang RM100 bilion jualan kepada KDNK suku keempat

KJM 2020 sasar sumbang RM100 bilion jualan kepada KDNK suku keempat

Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini melancarkan promosi Kempen Jualan Malaysia (KJM) Tahun 2020 menerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi menggalakkan rakyat membantu perkembangan ekonomi negara.

Menterinya, Datuk Alaxendar Nanta Linggi mensasarkan sumbangan KJM 2020 kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM100 bilion pada suku keempat tahun ini.

“Kempen ini akan berterusan sepanjang tahun objektifnya menggalakkan pengguna membeli barangan Malaysia, jadi bukan sekadar barangan Malaysia kita galak membeli belah supaya dapat membantu ekonomi dirancakkan.

“Sudah beberapa bulan kita dalam keadaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) di mana banyak peniaga-peniaga terkesan jadi ekonomi kita banyak menurun,” katanya pada sidang media di KL Sentral, di sini, hari ini.

Jelas beliau, KTMB dipilih sebagai salah satu lokasi promosi kerana mudah menarik perhatian pengguna yang menaiki pengangkutan awam berkenaan.

Uniknya kempen KJM yang akan berlangsung sepanjang tahun ini ujarnya, akan membawa konsep yang berbeza setiap bulan.

“Konsep KJM bertema sebulan satu produk atau sektor kita promosi Ogos, kita fokus produk fesyen dan kecantikan kemudian kita promosi lain, alat sukan dan sebagainya. Penghujung tahun kita fokus Back To School,” tambahnya. 

Kata beliau, promosi KJM 2020 akan dilakukan dengan meletakkan poster di stesen-stesen KTMB.

Tidak hanya di KTMB malah promosi KJM 2020 juga, tambah beliau, akan dihebahkan secara meluas di semua platform media sosial dan pusat membeli belah dalam negara.

Pada masa sama Alaxender memaklumkan kementeriannya turut memperkenalkan aplikasi telefon pintar iaitu MySales Tracker bagi membantu pengguna untuk menyemak promosi jualan murah dan lokasinya serta membuat perbandingan harga sendiri.

Setakat ini seramai  5,747 peniaga yang telah berdaftar dengan aplikasi berkenaan. – MalaysiaGazette