BUTTERWORTH – Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tembakan di kepala kiri di dalam bilik air rumah keluarganya di Taman Seri Maklom, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mayat Muhammad Asiff Md. Rozi, 30 ditemukan bapanya ketika hendak mengambil wuduk bagi menunaikan solat Subuh pada 5.30 pagi tadi.
“Bapa mangsa menemui mayat anak lelakinya yang berlumuran darah dalam bilik air dan terus menghubungi polis,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Polis turut menemui sepucuk pistol berlumuran darah di sebelah mangsa yang dipercayai digunakan untuk menembak dirinya.
“Polis masih menjalankan siasatan dari mana mangsa mendapat senjata api tersebut dan maklumat lengkap berhubung pistol digunakan mangsa,” katanya.
Noorzainy berkata, mangsa merupakan seorang duda dan tidak bekerja dan tinggal bersama ibu bapanya di rumah berkenaan serta dikatakan tidak mempunyai masalah dengan sesiapa.
Katanya, ibu mangsa memaklumkan mangsa pernah mendapatkan rawatan pakar psikiatri di India pada 2017 dan hanya mendapatkan rawatan sekali serta tiada rawatan susulan selepas itu.
Katanya, berdasarkan siasatan, mangsa dikatakan mengalami masalah kemurungan yang boleh menjurus kepada membunuh diri.
Kes disiasat sebagai kematian mengejut dan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960. – MalaysiaGazette