Home Nasional Projek tebatan banjir lebih efektif dikaji – Ahmad Masrizal

Projek tebatan banjir lebih efektif dikaji – Ahmad Masrizal

Timbalan Menteri Alam Sekitar, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad mendengar taklimat ketika melihat bilik operasi semasa mengadakan lawatan kerja ke Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 27 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Satu kajian sedang dilakukan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi melaksanakan projek tebatan banjir yang lebih efektif untuk menangani masalah banjir di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad berkata, projek berkenaan turut meliputi masalah banjir di pusat bandar utama seluruh negara pada masa akan datang berikutan musim hujan tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Menurut beliau, kajian menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu turut mencakupi perancangan mendalamkan sungai selain memperkukuhkan struktur tebatan air dan ban sedia ada yang sedang digunakan.

“Kita juga sedang mempergiatkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dari segi garis panduan sistem saliran yang lebih efektif untuk setiap kawasan di bawah seliaan mereka selepas menerima laporan kejadian banjir yang kerap melibatkan kawasan perumahan.

“”Sebenarnya, setiap rumah yang dibina mengikut garis panduan Manual Mesra Alam versi kedua dikeluarkan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS).

“Namun kita akui kejadian banjir bukan hanya disebabkan satu faktor, bukan kerana aliran sungai sahaja tetapi masalah longkang tersumbat sistem saliran yang tidak sesuai atau menepati piawaian mengikut pembangunan juga menyumbang kepada masalah banjir.

“Kita dengan kerjasama PBT mahu memastikan pihak berkuasa mengawal banjir teruk ini, tetapi hujan lebat berterusan selama tiga jam dan sebagainya memang sukar dikawal kerana dipengaruhi tebatan luar dan dalam bandar yang berlainan mengikut kedudukan geografi kawasan,” kata beliau dalam sidang media selepas melawat Pusat Kawalan Banjir SMART dan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di Ampang hari ini.

Timbalan Menteri Alam Sekitar, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad bercakap pada sidang media selepas selesai mengadakan lawatan kerja ke Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 27 JULAI 2020

Mengulas mengenai PRABN, katanya, ia satu pusat penting yang membantu negara meramal, memberi amaran dan menguruskan kejadian banjir besar secara tersusun dan komprehensif sejak ditubuhkan lebih lima tahun lalu selepas kejadian banjir besar luar biasa melanda seluruh negara pada tahun 2014 lalu.

“Ini bermakna PRABN tidak berfungsi secara bersendirian, sebaliknya bekerjasam secara bersepadu dengan agensi lain termasuk Arahan 20 bawah Majlis Keselamatan Negara.

Beliau juga menyentuh mengenai kejadian banjir teruk luar jangkaan di Kajang dan Hulu Langat baru-baru ini disebabkan jumlah taburan air huja mencecah sehinhgga 192 milimeter.

Menurutnya, Sungai Langat yang berkapasiti menampung taburan air antara 60 hingga 80 milimeter sahaja mengakibatkan banjir teruk Kajang dan Hulu Langat yang melampaui 192 milimeter membawa bencana teruk.

“Masalah berkenaan tidak boleh diambil ringan dan sedang diteliti untuk menanganinya dengan pelan tebatan yang lebih baik dan efektif,” katanya lagi.

Ditanya mengenai pemantauan di Terowong Lebuh Raya SMART, Ahmad Masrizal juga menjelaskan bahawa tebatan banjir dwifungsi itu berjaya membantu kerajaan mengalami kerugian berjumlah RM1.4 bilion akibat banjir teruk sejak 2007 hingga hari ini.

Katanya, ia sekaligus membuktikan SMART bukan ‘projek gajah putih’ atau tidak menguntungkan negara dalam soal bencana banjir di pusat bandar khususnya selain memainkan peranannya lebih 30 kali sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

“SMART antara 10 terowong terbaik di dunia dan dwifungsi sebagai tebatan dan juga laluan kenderaan yang mengurangkan kesesakan di pusat bandar,” ujarnya.

Tambah beliau, setakat ini JPS telah memasang 472 stesen siren amaran banjir di beberapa lokasi tertentu untuk berdepan banjir kilat ketika musim barat daya.

“Stesen siren ini akan mengesan dan mengeluarkan amaran banjir kepada penduduk sekitar untuk mengambil langkah awal menyelamatkan diri dan harta benda mereka,”tegasnya.