Home Seni Hidup Saya rugi ratusan ribu masa PKP – Nabil

Saya rugi ratusan ribu masa PKP – Nabil

Nabil hilang lebih daripada 20 tawaran kerja sejak PKP.

KUALA LUMPUR –  Pengacara, Nabil Ahmad mengakui  dia kehilangan lebih daripada 20 tawaran kerja membabitkan kerugian hingga mencecah ratusan ribu ringgit ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama tiga bulan.

Justeru, pelawak terkenal itu berharap tidak berlaku gelombang kedua pandemik Covid-19 berlaku di seluruh negara ini hingga ‘memaksa’ kerajaan melaksanakan semula PKP.

Jelasnya, pelaksanaan semula perintah itu akan mengakibatkan lagi ramai orang akan kehilangan pekerjaan selain ekonomi negara yang baru hendak pulih secara perlahan.

“Menurut pengurus saya, semua majlis dibatalkan sampai bulan Disember tahun ni. Saya hanya masih bekerja untuk sebuah program hiburan di satu televisyen sahaja.

“Selainnya duduk habiskan masa di rumah. Situasi tu buat saya sungguh tertekan sebab memang jenis tak boleh duduk di rumah.

“Jika tak kerana moratorium dilaksanakan Bank Negara Malaysia, memang tak lepas ikhtiar hidup sebab kadar komitmen yang tinggi. Justeru, saya memang takut sekiranya PKP dilaksanakan kembali,” katanya.

Nabil ditemui pada pelancaran perniagaan terbaharunya iaitu produk minyak wangi dan pewangi kereta SugarBomb X LuPK di Ruang, Shah Alam baru-baru ini.

Nabil (kiri) dan Achey (kanan) bekerjasama dalam bisnes produk minyak wangi dan pewangi kereta SugarBomb X LuPK.

Pemilik nama penuh Ahmad Nabil Ahmad itu berkata, sebagai salah seorang daripada golongan yang terjejas akibat pelaksaan PKP, perasaan paranoid kini mula bermain di perasaannya.

“PKP menyedarkan saya bahawa masalah penularan wabak menyebabkan tiada orang ingin menggunakan khidmat sebagai pengacara atau pelakon.

“Jadi memang saya takut dan paranoid sekiranya berlaku gelombang kedua Covid-19 secara berleluasa, sebab rasa tak mampu untuk pulihkan kadar kewangan sendiri,” katanya berterus-terang.

Mengulas perniagaan baharunya bersama SugarBomb, pengacara MeleTop itu melahirkan rasa yukur apabila diberi eluang untuk bekerjasama dengan pelawak Achey Bocey untuk menerokai bidang produk wangian pula.

Jelasnya, perniagaan diusahakan itu bukan sahaja untuk menambah ekonomi dirinya namun pada masa sama membuka peluang anak muda di kampungnya yang terjejas pendapatan atau kehilangaan pekerjaan ekoran Covid-19 menjana pendapatan.

“Ramai rakan-rakan di kampung yang saya kenal sejak kecil sering mengadu alami kesempitan hidup. Hendak beli beras pun hingga perlu meminjam.

“Apa saya buat ini sebahagiannya untuk membantu mereka yang hampir 70 hingga 80 peratus kehilangan pekerjaan.

“Pergerakan terbaru mereka dalam menjana ekonomi keluarga adalah melalui perniagaan saya usahakan bersama Achey. Saya bersyukur jika dapat ringankan beban mereka,” katanya. – MalaysiaGazette