LABUAN – UMNO Labuan hari ini menyatakan pendirian bahawa Labuan harus dikekalkan sebagai Wilayah Persekutuan dan tidak dijadikan sebahagian daripada Sabah lagi.
Ketuanya, Senator Datuk Bashir Alias berkata kurangnya pembangunan di Labuan, tidak seperti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, seharusnya tidak menjadi faktor pendorong untuk Labuan dikembalikan ke Sabah.
“Kami (UMNO Labuan) telah membuat pendirian kami. Labuan harus kekal sebagai Wilayah Persekutuan. Kami tidak nafikan Labuan ketinggalan daripada Kuala Lumpur dan Putrajaya dari segi pembangunan,” katanya pada sidang media di sini.
Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli daripada Parti Warisan Sabah berkata di Dewan Rakyat pada 20 Julai lepas bahawa Labuan perlu dikembalikan kepada Sabah sekiranya kerajaan Persekutuan tidak dapat memenuhi komitmennya terhadap Wilayah Persekutuan itu.
Semalam, Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata satu daripada cadangan dalam manifesto UMNO Sabah untuk Pilihan Raya Umum ke-15 adalah Labuan akan dikembalikan kepada Sabah dan menjadi satu daripada daerah di negeri itu.
Bashir berkata UMNO Labuan akan terus menekankan keperluan untuk pembangunan berterusan di Labuan kerana statusnya sebagai hab minyak dan gas serantau dan pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa.
“UMNO Labuan akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan untuk merangka pelan pembangunan Labuan,” katanya.
Beliau berkata adalah diharapkan tujuan menjadikan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan yang progresif dapat direalisasikan dengan lebih banyak perhatian diberikan kepada pembangunan mampan untuk kepentingan pulau dan rakyatnya.
Sabah menyerahkan pentadbiran Labuan kepada kerajaan Persekutuan pada 1983.- BERNAMA