LONDON – Superstar bek pertahanan Tottenham Hotspur, Jan Vertonghen meninggalkan kelab secara mengejut hari ini sekaligus mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat kelab itu di serata dunia.
Vertonghen, 33, yang merupakan bintang antarabangsa Belgium membuat 315 penampilan bersama Spurs selama lapan musim yang lalu.
Pemain yang menjadi kunci utama membawa pasukannya ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah dan Piala Liga meninggalkan kelab secara percuma tanpa terikat dengan sebarang klausa pelepasan.
Pemain itu dikatakan kecewa selepas tidak lagi menjadi pilihan pengurus baharu kelab itu, Jose Mourinho yang menggantikan Mouricio Pochettino awal musim ini.
“Masa saya bersama Spurs tiba ke pengakhiran.. Hari yang menyedihkan untuk pelbagai sebab yang terpendam dalam hati dan saya tidak dapat meluahkan kepada umum.
“Saya akan merindui rakan-rakan sepasukan saya, kakitangan serta peminat kelab.
“Terima kasih atas segala sokongan dan tunjuk ajar anda selama ini..saya bawa bersama pelbagai memori indah tetapi buat masa ini hanya selamat tinggal sempat ungkapkan,” katanya dalam ruang instagram rasminya.
Rakan sepasukannya Harry Kane antara pemain yang merakamkan selamat tinggal kepadanya termasuk untuk penjaga gol kelab itu Michel Vorm yang juga meninggalkan kelab itu.
Vertonghen tidak lagi menjadi pemain pilihan Mourinho dalam kesebelasan utama berbanding Pochettino.
Di bawah kendalian Pochettino, Vertonghen merupakan tonggak utama pasukan yang menjadikan pasukan itu menjadi ancaman kepada pasukan elit khsusunya Manchester United, Manchester City, Arsenal, Chelsea dan Liverpool.
Namun dia menyedari,dirinya sudah tidak lagi dianggap penting dalam pasukan di bawah kejurulatihan Mourinho dan membuat keputusan meninggalkan pasukan itu mengintai peluang baharu.
Vertonghen menyertai Spurs dari Ajax pada musim 2012.