KUALA LUMPUR – Prestasi eksport Malaysia kembali pulih daripada kesan pandemik Covid-19 setelah mencatatkan pertumbuhan positif pada bulan Jun 2020.
Eksport negara kembali merekodkan kenaikan 8.8 peratus kepada RM82.9 bilion daripada penurunan 25.5 peratus pada Mei 2020.
Bagaimanapun, import menurun sebanyak 5.6 peratus tahun ke tahun kepada RM62.0 bilion, menghasilkan lebihan dagangan iaitu RM20.9 bilion, meningkat 98.7 peratus berbanding Jun 2019.
Ini adalah lebihan dagangan terbesar yang pernah dicatatkan setakat ini, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Menurutnya, lebihan dagangan terbesar sebelum ini direkodkan pada Oktober 2019 dengan nilai RM17.3 bilion.
Sementara itu, jumlah dagangan Malaysia berjumlah RM144.8 bilion, berkembang sebanyak 2.2 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu.”
Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan peningkatan eksport disebabkan oleh eksport yang lebih tinggi ke China (+RM4.7 bilion), Amerika Syarikat (+RM2.1 bilion) dan Hong Kong (+RM1.4 bilion).
Namun, eksport ke India menurun sebanyak RM1.4 bilion.
Import yang lebih rendah terutamanya dari Kesatuan Eropah (-RM1.1 bilion), Singapura (-RM772.8 juta), Thailand (-RM723.1 juta) dan Korea (-RM706.6 juta).
Produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (+RM4.5 bilion), keluaran getah (+RM1.8 bilion), minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.5 bilion), barangan optik dan saintifik (+RM993.6 juta) an jentera, peralatan dan kelengkapan (+RM951.4 juta).
Sementara itu, penurunan import dicatat bagi keluaran petroleum (-RM2.4 bilion), kelengkapan pengangkutan (-RM1.7 bilion) dan petroleum mentah (-RM1.1 bilion).
Mohd Uzir berkata, penurunan dalam import mengikut Penggunaan Akhir disumbangkan oleh barang perantaraan. Import barangan perantaraan, turun 10.8 peratus atau RM4.1 bilion kepada RM34.1 bilion.
Manakala import barangan penggunaan dan barangan modal masing-masing mencatat kenaikan 9.0 peratus kepada RM6.1 bilion dan 2.8 peratus kepada RM7.3 bilion. – MalaysiaGazette