LONDON – Impak besar yang diberikan Bruno Fernandes kepada Manchester United pada musim Liga Perdana Inggeris (EPL) mendapat pujian tinggi daripada pengurus, Ole Gunnar Solskjaer.
United menutup musim pada kedudukan ketiga terbaik dan layak ke Liga Juara-Juara musim depan walaupun diragui keupayaan pada awal tahun ini.
Kelab itu mengumul 66 mata sama dengan Chelsea namun mereka dipisahkan dari perbezaan gol kerana United mempunyai rekod kelebihan 30 gol sementara Chelsea hanya 15.
Kejayaan United itu tidak dapat lari daripada peranan Fernandes yang menyertai kelab itu ada Januari lalu setelah dibeli dari Sporting CP dengan harga £46 juta.
“Kita harus mengakui bahawa kehadirannya membawa perubahan kepada kami dan keupayaannya merupakan pengaruh besar untuk United.
“Dia menjaringkan gol yang hebat,membuat assist serta mempunyai semangat mental yang kuat untuk membantu.
”Mungkin hari ini anda dapat melihat Bruno Fernandes yang sangat letih, dan itu wajar kerana dia bermain terlalu banyak,” kata Solskjaer.
Pemain berusia 25 tahun itu memang menjadi faktor kepada perubahan buat United apabila dia menampilkan banyak kreativiti di bahagian tengah.
Rekod statistiknya mengagumkan apabila dia menjaringkan lapan gol dan tujuh bantuan daripada 14 perlawanan. – MalaysiaGazette