TERIMA kasih diucapkan kepada pihak kerajaan kerana bersetuju secara dasarnya untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] khususnya dari Seksyen 41 hingga Seksyen 45 untuk kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara melulu. Menurut YB Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini, pindaan yang ingin dilakukan ini bertujuan untuk menjadi satu pengajaran kepada orang ramai supaya mematuhi semua peraturan jalan raya.
Menurut beliau, ketiga-tiga komponen hukuman akan dipinda termasuklah kadar denda, tempoh penjara dan tempoh penggantungan lesen memandu kenderaan. Antara pindaan yang ingin dilakukan adalah di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] yang mana kadar penjara maksimum akan dinaikkan dari 10 tahun ke 15 tahun untuk kesalahan pertama dan 20 tahun bagi kesalahan berikutnya. Kadar denda yang dicadang juga akan dinaikkan dari maksimum RM20,000 sekarang kepada RM100,000. Kesalahan berikut denda RM 150,000 dan tempoh pergantungan lesen dari 10 tahun kepada 20 tahun.
Di bawah Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] pula mereka yang memandu dengan kadar alkohol melebihi had, hukuman penjara telah dicadangkan sebagai satu hukuman mandatori jika disabit kesalahan. Walaupun segala pindaan yang ingin dilakukan oleh pihak kerajaan dapat membantu meningkatkan lagi tahap keselamatan di atas jalan raya dalam negara kita, ianya dilihat tidak memadai sekiranya langkah awal pencegahan tidak diambil juga. Selain daripada melakukan proses pindaan terhadap hukuman sedia ada, pihak kerajaan juga perlu memastikan hanya mereka yang benar-benar layak diberi lesen memandu. Pihak kerajaan perlu memperkenalkan satu bentuk ujian yang lebih ketat dan menyeluruh khusus untuk ketahui tahap kewarasan mental dan tahap kawalan emosi pemohon lesen pemanduan sebelum sebarang jenis lesen memandu diberikan kepada mereka. Cadangan ujian ketat berkenaan bukan sahaja
dihadkan kepada bakal-bakal pemandu malah perlu dilaksanakan terhadap semua pemandu sedia ada dalam negara. Cadangan ujian ketat terbabit perlu dilakukan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak berada atas jalan raya dalam negara kita.
Cadangan ujian ketat terhadap perkara ini bukan sahaja bagi membendung pemandu yang ada masalah ketagihan terhadap alkohol yang boleh menjejaskan tumpuan pemanduan mereka malah juga bagi membendung individu-individu yang menghadapi masalah yang hampir sama
sehingga boleh menjejaskan tahap tumpuan mereka ketika memandu seperti masalah ketagihan dadah serta ketagihan terhadap benda-benda lain yang boleh menjejaskan tahap tumpuan pemanduan mereka dijalan raya. Cadangan ujian ketat ini juga adalah penting bagi membendung individu yang berpontensi untuk melakukan kesalahan jenayah jalan raya yang lain seperti pemanduan cuai serta pemandu yang buli dijalan raya.
Oleh yang demikian, adalah ingin dicadangkan supaya pihak kerajaan menyemak semula peruntukkan undang-undang yang berkaitan dengan aspek pemberian lesen pemanduan
dan jalan raya yang ada dalam negara kita bagi memastikan cadangan di atas ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Antara peruntukkan undang-undang yang perlu dilihat dan
dinilai semula adalah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333]. Pindaan perlu dilakukan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] supaya setiap jenis lesen pemanduan yang ingin dikeluarkan dapat diberikan kepada mereka yang betul-betul layak untuk memilikinya dari segi mental dan emosi dan bukan sahaja mereka yang ada kemahiran untuk bawa kereta serta tahu untuk tukar tayar. Pihak berkuasa yang berkaitan khusus pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) harus memastikan hanya mereka yang memiliki tahap kewarasan minda dan tahap psikologi atau emosi yang stabil berhak untuk diberi sebarang lesen pemanduan jalan raya.
Pihak kerajaan boleh melihat kembali kepada beberapa peruntukkan sedia ada di dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] terbabit seperti Seksyen 29 yang mensyaratkan ujian kekompetenan memandu, Seksyen 30 yang menyediakan peruntukkan mengenai kesihatan jasmani bagi pemohon lesen memandu, Seksyen 39 yang mengenakan sekatan pemanduan pihak bawah umur dan lain-lain peruntukkan undang-undang lagi bagi melaksanakan sepenuhnya cadangan ujian ketat ini dalam negara kita. Pihak yang ingin memiliki lesen pemanduan perlu menjalankan beberapa ujian kompetensi yang lebih ketat lagi bagi memastikan setiap bakal pemandu memiliki tahap kewarasan minda yang bersesuaian serta kestabilan psikologi atau emosi sebagai seorang pemandu sebelum mereka diberi sebarang lesen pemanduan kenderaan.
Proses pemeriksaan ini perlu dilakukan oleh mereka yang benar-benar pakar dalam bidang berkenaan. Pemeriksaan teliti dan lebih ketat terhadap latar belakang setiap bakal
pemandu perlu dilaksanakan bagi memastikan mereka yang benar-benar layak memiliki sebarang lesen pemanduan kenderaan. Cadangan ujian ketat ini juga perlu dilakukan terhadap semua pemandu yang sudah memiliki lesen pemanduan dalam negara kita. Cadangan ujian ketat ini juga perlu dilakukan secara kerap seperti setahun sekali bagi memastikan tahap kewarasan otak dan emosi setiap pemandu yang ada dalam negara kita berada dalam keadaan baik. Walaupun cadangan yang diberikan bakal memberi beban kepada para pemandu dalam negara kita pada masa akan datang, namun ianya harus dilihat secara positif bagi memastikan setiap pemandu dalam negara kita adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar layak untuk berada diatas jalan raya serta yang dapat menjaga keselamatan diri mereka sendiri serta yang dapat mementingkan keselamatan orang sekeliling.
Dr. Muzaffar Syah Mallow
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)