Home Seni Hidup Kumpulan Prolintas terima ISO 37001: 2016

Kumpulan Prolintas terima ISO 37001: 2016

KUALA LUMPUR –  Lapan anak syarikat di bawah Kumpulan Syarikat Prolintas (Prolintas) telah berjaya memperoleh pensijilan antarabangsa ISO 37001: 2016 bagi Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS) dari SIRIM QAS, badan penilaian yang diakreditasi oleh Jabatan Standard Malaysia dan United Kingdom Accreditation Service baru-baru ini.

Pensijilan itu diperoleh menerusi penilaian yang ketat dan komprehensif mengenai dasar dan prosedur anti-rasuah kumpulan yang mana memperlihatkan Prolintas telah
memenuhi keperluan standard yang telah ditetapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, Prolintas telah berjaya menunjukkan standard yang tinggi dalam mencegah dan mengesan jenayah rasuah bagi mencapai sijil ISO 37001.

“Memperoleh pengiktirafan bagi lapan anak syarikat di bawah kumpulan syarikat bukti komitmen kami sepenuhnya terhadap budaya kerja yang beretika dalam menjalankan perniagaan.

“Ianya juga memperlihatkan prosedur dan proses yang dilaksanakan menepati piawaian terkenal dunia dan ianya terus menjadi kebanggaan apabila keseluruhan latihan telah dilaksanakan oleh pasukan integriti dalaman,

“Kami akan terus memperketatkan lagi semua aspek ABMS di seluruh kumpulan dan akan mengawasi segala perancangan dan pelaksanaan pada setiap operasi yang meliputi budaya etika, telus dan patuh.

”Penilaian berkala terhadap sebarang risiko rasuah dan usaha dalam projek serta hubungan perniagaan juga akan dilaksanakan,” katanya.

Menurut beliau, pengiktirafan itu amat penting untuk meningkatkan kesedaran, mendidik kakitangan berhubung amalan yang baik sekaligus mencegah sebarang bentuk jenayah rasuah dari terus meningkat, selain  memastikan ABMS ini diaplikasikan di semua bidang kerja seperti kontrak, perolehan, sumber manusia dan lain-lain lagi.

Piawaian ISO 37001: 2016 telah menepati syarat-syarat yang dinyatakan dalam Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan) dan Garis Panduan Prosedur yang Berkuatkuasa mulai 1 Jun lalu.

Piawaian itu adalah panduan untuk membantu organisasi untuk menubuhkan, melaksanakan, memelihara dan meningkatkan program anti-rasuah.

Ringkasnya, ABMS menetapkan syarat dan memberikan panduan kepada Prolintas  merancang, melaksana, mengekal dan memperbaiki sistem pengurusan anti-rasuah, yang mana ianya membantu untuk mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap jenayah rasuah bagi mematuhi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Akta 2009 (Akta 694) dan undang-undang serta peraturan anti-rasuah yang lain. – MalaysiaGazette