Home Seni Hidup Perodua perluas sumbangan pelindung muka

Perodua perluas sumbangan pelindung muka

Wakil Perodua menyerahkan alat perlindungan muka kepada seorang peniaga.

KUALA LUMPUR – Perodua memperluaskan inisiatif pelindungan awamnya dengan mengedarkan 10,000 lagi pelindung muka di daerah Hulu Selangor dan perbandaran Selayang.

Penerima di Hulu Selangor termasuk Pejabat Kesihatan Daerah, klinik-klinik komuniti dan pergigian, para penguatkuasa Jabatan Perlesenan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) serta para penjaja pasar pagi dan malam.

Perodua juga turut menyerahkan pelindung muka kepada Jabatan Perlesenan dan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), dan melalui mereka kepada para penjaja di kawasan tersebut.

”Sumbangan Perodua ini merupakan tanda penghargaan kepada masyarakat sekeliling yang telah menyokong dan menyambut baik kami selama 27 tahun kami bertapak di sini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Menurutnya, sebagai syarikat yang mengutamakan insan dan entiti korporat yang bertanggungjawab, Perodua amat mengambil berat tentang keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat umum semasa pandemik Covid-19.

Setakat ini, katanya, Perodua telah menyumbang 21,000 pelindung muka termasuk kira-kira 11,000 kepada sekolah menengah di Putrajaya dan Hulu Selangor.

Pelindung muka yang disumbangkan itu mempunyai bahagian pelindung tahan kabus yang diperbuat daripada polyethylene terephthalate untuk penglihatan yang optimum.

Kusyen span pada bahagian dahi menghalang kemasukan titisan air manakala jalur elastik boleh dilaraskan untuk pemakaian yang selamat dan selesa.

”Perjuangan kita melawan Covid-19 masih belum berakhir. Kami berharap rakyat Malaysia akan terus mengamalkan dan menyesuaikan diri kepada norma baharu dengan berwaspada dan mematuhi semua garis panduan kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette