Home Sukan Tinggalkan Liverpool, Lallana sah milik Brighton

Tinggalkan Liverpool, Lallana sah milik Brighton

Adam Lallana.

LONDON – Pemain tengah Liverpool, Adam Lallana bakal memulakan fasa baharu dalam kariernya apabila telah melengkapkan perpindahan ke Brighton & Hove Albion secara percuma.

Lallana yang bergelar ejen bebas selepas kontraknya tamat sebaik sahaja saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 berakhir pada awal pagi semalam akan memakai jersi nombor 14.

Dia dibawa masuk oleh Brendan Rodgers pada musim 2014/15 dari Southampton dan telah menikmati enam musim yang boleh dikatakan cukup baik bersama Liverpool kerana menjadi sebahagian daripada skuad juara Liga Perdana Inggeris musim ini dan Liga Juara-Juara Eropah 2018/19.

Tiga musim terawal bersama The Reds, Lallana sentiasa menjadi pilihan utama pengurus namun sejak musim 2017/18, pemain berusia 32 tahun itu semakin kurang mendapat minit perlawanan susulan kecederaan yang sering dialaminya.

Goal melaporkan, Lallana mengakui tidak sabar untuk menikmati cabaran dalam karier bola sepak profesionalnya.

”Saya tidak sabar untuk memulakannya. Ia umpama menghidup udara segar apabila datang ke sini, melakukan ujian perubatan, semuanya baharu. Ia cabaran yang saya nantikan.”

”Keseluruhan infrastruktur dan cita-cita di sekeliling kelab ini menggembirakan saya. Terdapat ramai pemain muda yang berbakat dengan kemampuan hebat.”

”Pengurusnya (Graham Potter) sangat dihormati dan ia menjadikan sangat mudah buat saya untuk membuat keputusan pada akhirnya, terutamanya mengetahui sejauh mana Brighton telah capai.

”Ia sangat bagus untuk mengetahui bahawa anda dimahukan, saya merasakan ini merupakan padanan yang sempurna,” ujar Lallana.

Lallana telah membuat 178 penampilan bersama Liverpool dalam semua kejohanan yang disertai dan berjaya menjaringkan 22 gol sepanjang kariernya bersama The Reds. – MalaysiaGazette