KUALA LUMPUR – Keputusan untuk mewujudkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang pernah dibubarkan oleh Pakatan Harapan (PH) adalah keputusan tepat.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, menarik semula pembubaran akan menebus dosa kerajaan terdahulu yang bertindak zalim dengan justifikasi yang sangat lemah.
”Secara peribadi saya ingin mengucapkan ucapan setinggi terima kasih dan bersyukur apabila Timbalan Menteri Komunikasi Multi Media, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengumumkan cadangan untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang terbukti banyak jasanya kepada negara.
”Rasanya sebahagian besar rakyat Malaysia masih ingat episod hitam pembubaran JASA, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Unit Pengurusan Prestasi & Perlaksanaan Jabatan Perdana Menteri (PEMANDU) dan beberapa agensi atau sektor lain sepanjang 22 bulan PH memerintah.
”Kesannya, ribuan pekerja dalam sektor-sektor diatas terutama kakitangan kontrak diberhentikan. Ini membuatkan pintu rezeki utama mereka tertutup seterusnya terkapai-kapai ditinggalkan mencari jalan kelangsungan hidup bersama keluarga,” katanya.
Tegasnya, kezaliman kerajaan terdahulu cukup jelas apabila meletakkan beban hutang negara yang kononnya mencecah nilai trilion ringgit sebagai justifikasi penamatan kerja seperti dinyatakan awalan.
Shahril menambah, rakyat sebenarnya tahu keputusan kerajaan menamatkan kontrak mereka bukanlah kerana faktor hutang negara sebaliknya memenuhi tuntutan ahli politik DAP terutama Lim Guan Eng yang dinasihati oleh Tony Pua yang mahu mengurangkan kakitangan kerajaan seperti yang pernah mereka uar-uarkan sebelum PRU14.
”Kita juga ambil maklum bahawa hari ini situasi sangat berbeza. Ancaman ekonomi pasca Covid-19 perlukan pendekatan penuh hati-hati dan sentiasa menjadi keutamaan negara.
”Saya sentiasa percaya pada pepatah “tertutup satu pintu akan membuka pintu-pintu yang lain,” katanya sambil menambah dalam keadaan kadar pengangguran dan pemberhentian kerja terutama dalam sektor swasta semakin naik, memulangkan pekerjaan kepada yang berhak akan melambatkan peratusan kenaikkan ini.
Menurutnya, pengambilan semula pekerja-pekerja ini akan dapat membantutkan kenaikkan paras pengangguran negara manakala sumber pendapatan yang bakal dipulangkan kembali kepada mereka turut dapat membantu merancakkan semula aliran tunai kitaran ekonomi negara. – MalaysiaGazette