Home Sukan Penyerang Real Madrid sah Covid-19

Penyerang Real Madrid sah Covid-19

Mariano Diaz.

MADRID – Penyerang Real Madrid, Mariano Diaz disahkan positif Covid-19 sekali gus pemain tersebut terlepas peluang untuk menyertai perlawanan Liga Juara-Juara menentang Manchester City pada minggu depan.

Kelab gergasi La Liga itu dalam satu kenyataan telah mengesahkan Diaz kini menjalani kuarantin di rumah.

Akhbar Sepanyol, Marca melaporkan Diaz dijangkiti virus itu selepas pulang dari bercuti selepas menamatkan musim La Liga.

“Setelah ujian Covid-19 dilakukan secara individu dalam pasukan kami semalam (Isnin) oleh Pasukan Perubatan Real Madrid, pemain kami Mariano telah disahkan positif.

“Pemain berada dalam keadaan sihat dan mematuhi protokol pengasingan di rumah,” kata kenyataan itu.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan berhubung dengan kelab dan memantau keadaan dan keputusan pihak berkuasa Sepanyol yang berkaitan. – MalaysiaGazette