Home Nasional Najib kemuka rayuan sabitan salah dan hukum

Najib kemuka rayuan sabitan salah dan hukum

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi membayar wang jaminan selepas berjaya menangguhkan hukuman rasuah SRC International di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 29 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi terhadapnya berhubung tujuh pertuduhan rasuah serta pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan telah memfailkan notis rayuan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Sebelum ini, Selasa lepas, Najib telah didapati bersalah dan di jatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda sebanyak RM210 juta bagi kesalahan salah guna kuasa oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Bagi tiga pertuduhan pecah amanah pula, Mohd Nazlan telah memutuskan hukuman penjara 10 tahun setiap pertuduhan manakala untuk tiga tuduhan penggubahan wang haram, hukuman sama di tetapkan.

Ini sekaligus menjadi 72 tahun hukuman penjara dan denda RM210 juta namun mahkamah memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan secara serentak iaitu Najib hanya dipenjara selama 12 tahun.

Bagaimanapun sekiranya Najib gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara lagi selama lima tahun.

Bagaimanapun, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bangkit memohon menangguhkan kesemua hukuman sementara menunggu rayuan pihaknya di Mahkamah Rayuan.

Syarat tambahan telah dikenakan oleh Mohd Nazlan iaitu Najib perlu membayar jaminan tambahan sebanyak RM1juta.

Selain itu, Najib juga telah diarah lapor diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan iaitu pada 1 dan 15 haribulan setiap bulan.

Wang jaminan tambahan sebanyak RM1 juta itu telah di bayar oleh Najib semalam sekitar 1 tengah hari semalam dengan dua orang penjamin. –MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Berkat Hari Raya Eidul Adha di doakan segala urusan dipermudahkan dan diberikan pembebasan dari sabitan kesalahan. Ini lah antara masa masa doa dimakbulkan tanpa hijab.

Comments are closed.