PUTRAJAYA – Tiada cadangan penutupan sekolah atau Taman Didikan Kanak-Kanak (tadika) di Kedah dan juga tiada kes kluster sekolah di Sabah ekoran kes baharu positif di sebuah sekolah rendah di daerah Inanam dan Kubang Pasu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham berkata, di Sabah dua kes positif membabitkan murid sekolah rendah danĀ tidak hadir ke sekolah.
Pesakit itu, katanya, mengalami demam dan dirawat di hospital selain saringan ujian Covid-19 dilakukan sebelum keputusan menunjukkan tanda positif.
“Satu lagi kes yang dikesan juga melibatkan murid yang mengalami komplikasi kebakaran dan dirujuk ke hospital untuk rawatan segera.
“Walaupun kita melakukan persampelan di sekolah berkaitan, tiada seorang pun murid dan guru yang terkesan jangkitan buat masa ini.Jadi tiada kluster dari sekolah di negeri itu.
“Kedua-dua murid itu dirawat di hospital dan diasingkan dan dengan ini kami memberi jaminan bahawa tiada kluster di sekolah bersabit dua murid positif Covid-19 itu,” katanya dalam sidang media perkembangan semasa di kementeriannya hari ini.
Menyentuh mengenai kes di Kedah, Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenalpasti kluster berkenaan tetapi tidak mencadangkan penutupan sekolah atau tadika.
Menurut beliau, proses pembersihan dan nyahkuman di tadika berkenaan telah dilaksanakan.
“Kita melaksanakan ujian saringan Covid-19 dan hasil di tadika sehingga 12 tengahari ini, seramai 143 individu telah disaring dan enam daripadanya disahkan positif.
“Manakala 67 lagi negatif manakala 70 orang lagi masih menunggu keputusan.
“Seramai 70 orang yang masih menunggu keputusan saringan Covid-19 telah diletakkan di rumah di bawah Perintah Pemerhatian di Rumah dan kita juga menjalankan intervensi kesihatan awam di negeri tersebut termasuk di Sabah,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette