KUALA LUMPUR – Bintang YouTuber Malaysia S. Pavithra memuat naik sebuah lagi video selepas kemunculan semula baru-baru ini, namun kali ini bukan video masakan tetapi mengenai kontroversi di sebalik penangkapan suaminya.
Video YouTube lima minit itu (https://youtu.be/e0orAK3iH_Y) yang bertajuk ‘Inilah sebab menjadi masalah’, menyaksikan wanita berusia 28 tahun ini mendakwa masalah keluarga, wang dan media sebagai punca yang akhirnya menyebabkan penangkapan suaminya, M. Sugu.
“Keluarga saya yang tak pernah tolong saya selama ini sejak saya kahwin Sugu tujuh tahun. Selepas saya ada duit dan berjaya macam sekarang ini diorang muncul-muncul dan mula pinjam duit dengan suami saya, buat masalah dalam keluarga,” katanya dalam video yang dimuat naik ke laman YouTube beliau.
Beliau tidak menafikan bahawa Sugu juga bersalah kerana mabuk ketika kejadian tetapi menegaskan bahawa suaminya bukan seorang pemabuk.
Ibu kepada dua anak itu mendakwa media juga telah menyebabkan gangguan terhadap kehidupan peribadi mereka sejak tiga bulan lepas.
“Selepas media masuk dalam keluarga kami, kami tak ada masa untuk masak dan bagi makan untuk anak-anak kami dan masa itu amat sukar untuk kami,” katanya.
Beliau turut meminta maaf kerana memadam semua video di saluran YouTube dan berjanji akan memuat naiknya secepat mungkin.
Pavithra berkata suaminya berperanan dalam pencapaiannya sebagai antara bintang YouTube paling berjaya di Malaysia dan menambah bahawa tanpa Sugu, salurannya tidak akan memperoleh 786,000 pelanggan dan videonya ditonton hampir 35 juta kali.
“Dari awal kawan-kawan tahu, kami masak sama-sama… saya harap kawan-kawan sokong saya dan Sugu seperti biasa,” katanya.
Pada 20 Julai, bekas pekerja ladang, Sugu, 29, ditangkap dan kemudiannya didakwa atas pertuduhan memiliki sabit dan menyebabkan kecederaan terhadap isterinya. Beliau mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.
— BERNAMA
Harap semua selesai dengan baik. Kita kan keluarga Satu Malaysia. Jangan putus asa Parvithra. Atur masa anda sebaik mungkin lepas ni k.