Home Sukan Penyokong Gunners dan Chelsea diseru elak berkumpul hadapan Wembley

Penyokong Gunners dan Chelsea diseru elak berkumpul hadapan Wembley

Penyokong Arsenal dan Chelsea dinasihati supaya tidak hadir dan berkumpul di hadapan stadium Wembley apabila kedua dua pasukannya berentap pada aksi final piala FA Emirates pada malam Ahad ini mengelak jangkitan Covid-19.

LONDON – Menjelang perlawanan akhir penentuan juara Piala FA Emirates malam Ahad ini, Arsenal dan Chelsea merayu kepada para penyokongnya supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) penjarakkan sosial penularan Covid-19 yang ditetapkan kerajaan dan pihak berkuasa kesihatan England.

Pengurusan kedua-dua kelab bersama Persatuan Bola Sepak England menasihatkan para penyokongnya supaya tidak berkumpul secara beramai-ramai atau terlibat parti liar di hadapan atau sekitar kawasan stadium Wembley pada hari perlawanan final nanti.

Nasihat itu sebagai mengelak risiko penularan Covid-19 yang seriusĀ  di negara tersebut dalam fasa gelombang kedua ketika ini.

Kedua-dua pihak berkenaan termasuk FA tidak mahu satu lagi peristiwa buruk seperti penyokong liar Liverpool mengingkar arahan SOP Covid-19 dan berkumpul beramai-ramai dan bertindak liar di hadapan Anfield pada 26 Jun dan kali kedua pada 23 Julai lalu berlaku kali ini.

Pihak FA optimis para penyokong the Gunners dan the Blues adalah masyarakat berdisiplin dan bertanggungjawab memahami situasi luar biasa kesihatan yang sedang dihadapi dan mematuhinya segala arahan pihak berkuasa tanpa pengingkaran.

Kedua-dua pasukan itu akan beraksi di stadium kosong tanpa penonton sebagai syarat Covid-19.

Kedua-dua kelab itu kini mengambil inisiatif baharu untuk memujuk penyokong mereka supaya duduk dan meraikan di rumah dengan menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan Whatsapp ‘duduk di rumah’ sebagai peringatan.

Manakala FA juga mengeluarkan amaran duduk di rumah menerusi rangkaian tersendiri.

Perdana Menteri Boris Johnson turut mengeluarkan amaran petanda gelombang kedua pandemik virus itu di Eropah supaya warga England lebih berhati-hati dan duduk di rumah mengurangkan pergerakan di luar dengan penjarakan fizikal dikuatkuasakan.

Satu lagi penularan besar berisiko membawa kepada penggantungan sukan buat kali kedua sekiranya nasihat SOP diingkari rakyat khsusunya peminat sukan.

Liga Perdana Inggeris musim 2020/21 dijadualkan membuka tirai pada 12 September ini.